Saturday, March 2, 2013

Mat Sabu: Manifesto Pakatan tidak akan jadikan Malaysia bankrap

Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2013
mat sabu
Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu
PASIR MAS – Malaysia tidak akan muflis sekiranya negara ini mengikut manifesto yang dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya negara akan bankrap sekiranya masih terus menggunakan pemerintahan sedia ada.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, ia terbukti menerusi pemerintahan PR di empat negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Hasil laporan Audit Negara baru-baru ini juga katanya, menunjukkan empat negeri di bawah pemerintahan PR lebih baik berbanding negeri diperintah oleh Barisan Nasional (BN) ketika ini.

“Cara pemerintahan negara ketika ini banyak menjurus kepada pembaziran, malah ia mencetuskan pelbagai penyalahgunaan hasil negara.

“Terlalu banyak pembaziran yang mereka lakukan dengan meraikan pelbagai perayaan seperti Hari Kemerdekaan, sehingga mencecah jutaan ringgit,” katanya, selepas Ceramah Perdana, di Stadium Mini Pasir Mas, semalam.

Mat Sabu berkata, manifesto PR dilihat akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi lebih pesat, termasuklah di Kelantan.

Menurut Mat Sabu, manifesto berkenaan mengguna pakai kemahiran pakar ekonomi yang mana semua perbelanjaan berkisar kepada keperluan rakyat dan bukannya kepentingan pemimpin seperti yang berlaku hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan manifesto pakatan pembangkang akan menyebabkan negara muflis kerana pelaksanaannya melibatkan perbelanjaan yang besar.

Mahathir berkata, sebuah kerajaan perlu mempunyai wang untuk mentadbir negara, namun manifesto pembangkang itu dilihat akan mengurangkan pendapatan kerajaan.

No comments:

Post a Comment