Oleh Jahabar Sadiq
KUALA LUMPUR, 11 Mac — Dalam usaha yang tidak disangka, PAS telah
bergerak untuk menggagalkan kempen saat-saat terakhir oleh Datuk Seri
Najib Razak bagi menarik penjawat awam dengan mengatakan Pakatan Rakyat
(PR) akan sepadan dan memperbaiki apa-apa janji oleh perdana menteri
seperti menaikkan gaji dan elaun.
Najib
dijangka akan mengumumkan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan gaji
sehingga 10 peratus, memperbaiki elaun kos kehidupan dan perumahan
kepada 1.5 juta penjawat awam hari ini.
“PAS Pusat yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan,
mana-mana pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk
perkhidmatan awam akan diteruskan jika sekiranya Pakatan Rakyat
mentadbir Putrajaya,” kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau menyenaraikan tiga inisiatif yang akan diketengahkan oleh PR
dengan yang pertama untuk memperbaiki habuan kepada penjawat awam,
termasuk kenaikkan pangkat kepada semua penjawat awam termasuk guru,
pegawai kastam, polis, tentera dan lain-lain.
“Kami akan menerima pakai amalan di Kelantan di mana semua pinjaman
perumahan dan kenderaan kakitangan awam dihapuskan kenaan caj bunga
empat peratus bermula dari tarikh PR mengambil alih Putrajaya,” kata
Husam sambil menambah semakan pinjaman sekarang akan dilakukan untuk
memastikan kerajaan boleh menanggung implikasi kewangan.
Inisiatif ketiga adalah faedah bagi kakitangan awam yang
berpendapatan rendah serta rakyat Malaysia umumnya, kadar pelepasan
cukai yang ada sekarang dicadang dikaji semula untuk dinaikkan.
Husam (gambar) menambah,
perlepasan cukai bagi mereka yang mempunyai isteri dan anak-anak yang
ada sekarang menyebabkan kakitangan awam dan orang ramai tidak mendapat
pendapatan benar yang cukup untuk membiayai kos hidup yang tinggi pada
hari ini.
Kedua-dua BN dan PR berusaha untuk memenangi undi penjawat awam yang
menjadi kunci kemenangan daripada 13.3 juta pengundi yang akan membuang
undi dalam pilihan raya tahun ini.
PAS dan sekutunya DAP dan PKR menggemparkan BN dalam Pilihan Raya
2008 apabila menafikan majoriti tradisi dua pertiga mereka di parlimen.
Gabungan tiga parti itu memenangi 82 kerusi dan empat negeri dan
menyebabkan PR ditubuhkan.
Pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa kerana BN masih
belum membubarkan parlimen Jumaat lalu, tepat lima tahun selepas pilihan
raya lalu walaupun mandat mereka berakhir pada 28 April.
Husam juga mengatakan PAS Pusat membincangkan tentang keperluan
kajian dibuat terhadap penalti 45 peratus yang di kenakan kepada
pembayar cukai bila jumlah cukai yang diumumkan berbeza dengan yang
ditafsirkan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri.
“Penalti tersebut membebankan pembayar cukai. Kutipan cukai negara
meningkat kerana penalti 45 peratus itu dikenakan. Pada tahun ini
dijangka kutipan cukai termasuk penalti itu akan menjadi yang tetinggi
pernah dikutip,” katanya.
“Peningkatan kutipan kerana penalti wajib seperti ini menambahkan lagi tekanan terhadap rakyat jelata.”
Husam juga berkata PAS akan mengkaji semula cukai ke atas eksport
sawit mentah (CPO) sebanyak 23 peratus yang menyebabkan harga kelapa
sawit Malaysia lebih mahal di pasaran antarabangsa sementara Indonesia
telahpun dua kali menurunkan cukai CPO menjadikan harga sawit mereka
lebih berdaya saing.
Beliau berkata langkah tersebut boleh membantu meningkatkan harga CPO
dan ini memberikan faedah termasuk kepada pekebun-pekebun kecil di
seluruh negara akan tetapi polisi Putrajaya memberikan Permit Diluluskan
(AP) kepada syarikat terpilih untuk mengeksport tujuh juta tan CPO
tanpa cukai telah merugikan negara.
Husam mengatakan PAS akan menyemak kembali sistem tersebut serta
jawatankuasa akan ditubuhkan dan ia akan mencadangkan pendirian PAS
terhadap penalti cukai 45 peratus, kadar cukai CPO yang baru dan
menghapuskan sistem AP eksport minyak sawit mentah.
Malaysia adalah negara pengeluar CPO kedua terbesar dunia dengan
kedua-dua negara bersaing untuk pasaran di rantau ini terutamanya China
dan India. TMI
No comments:
Post a Comment