Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16,
yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima
anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.
Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.
Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian
serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an
turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah
sebuah surau di Kampung Senallang Lama, di Semporna.
Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan
tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang
menembak polis malam tadi".
"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan
mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul
bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.
Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia
bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.
Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian
jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan
Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30
pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat
mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.
Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah
mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita,
untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.
Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.
Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd
Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.
- Bernama

No comments:
Post a Comment