Sunday, March 3, 2013

PKR cabar dakwaan kaitkan Anwar dengan pencerobohan. Peguam Anwar diarah kaji tindakan seterusnya

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 03, 2013
Azmin berkata setiap tuduhan yang dibuat juga perlu dikemukakan dengan bukti. – Gambar fail
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pembangkang mencabar dakwaan daripada media antarabangsa yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, dan menegaskan laporan berkenaan telah di putar belit untuk mengalihkan fokus daripada kegagalan kerajaan menangani insiden berkenaan.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata laporan media antarabangsa seperti Reuters dan portal Filipina The Philipine Inquirer yang melaporkan sumber risikan Filipina mendakwa seorang pemimpin yang rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan penceroboh bersenjata terbabit di Sabah bukanlah perkara mengejutkan.

“Saya tidak terkejut kalau ada pihak luar digunakan untuk memburukkan Anwar,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Ini semua tuduhan yang tidak berasas dan cuba mengalihkan pandangan dari isu sebenar ... kita minta jangan alihkan pandangan rakyat, bagaimana keselamatan lautan dan wilayah kita boleh dicerobohi,” tegasnya, dan menuntut jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara (KPN).
Jelas ahli Parlimen Gombak itu lagi, setiap tuduhan yang dibuat juga perlu dikemukakan dengan bukti.

“Siapa yang buat tuduhan kepada Anwar perlu kemuka bukti ... bukti kukuh perlu ada sebelum buat tuduhan,” tegasnya, dan menambah, “ini memang kerja Umno, padamkan fakta dan mengalih perhatian rakyat.”

Portal Philipine Inquirer sebelum ini melaporkan seorang pemimpin utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan penceroboh bersenjata terbabit di Sabah.

Portal berkenaan turut melaporkan dipetik sumber risikan kerajaan Filipina, pertemuan berkenaan yang berlangsung pada November tahun lalu menyebabkan Sultan Sulu Jamalul Kiram III mengarahkan pengikutnya menceroboh Kampung Tanduo, lokasi penceroboh yang mendakwa mereka adalah Tentera Kesultanan Sulu berkubu.
Reuters juga pada 14 Februari lalu memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina mendakwa pencerobohan tersebut berlaku atas jemputan pembangkang negara ini

Pertempuran kemudiannya tercetus Jumaat lalu selepas tiga minggu penceroboh berkenaan berkubu di sana dengan pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka dikatakan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.

Insiden tembak menembak yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu turut menyaksikan dua anggota pasukan polis terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka diserang menggunakan mortar.

Azmin turut berkata, tuduhan yang dikeluarkan terhadap Anwar itu juga bertujuan untuk melemahkan sokongan terhadap PR yang mana jelasnya mempunyai sokongan yang semakin kuat daripada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah telah bangkit dan memberi dokongan kuat kepada PR, maka tuduhan seperti ini cuba melemahkan sokongan mereka.
“Usaha ini dibuat Umno dalam pelbagai cara, dulu kita tahu Umno gunakan pihak luar dari AS (Amerika Syarikat) untuk memburukkan Anwar,” katanya lagi

Sementara itu, pegawai khas kepada Anwar, Najwan Halimi yang dihubungi The Malaysian Insider memaklumkan, ketua pembangkang itu telah mengarahkan peguamnya, Latheefa Koya untuk meneliti laporan media berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Datuk Seri Anwar telah memaklumkan kepada peguamnya untuk mengkaji kenyataan itu ... sekiranya ada tindakan susulan, kita akan maklumkan,” katanya. TMI

No comments:

Post a Comment