Saturday, March 23, 2013

RCI mengenai pencerobohan Sulu akan diumum pada Isnin, kata Hishamuddin

March 23, 2013
 

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dalang insiden pencerobohan di Sabah akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Isnin ini, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Menteri dalam negeri itu berkata Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara tersebut pada sidang media sempena sambutan Hari Polis.
"Pada ketika ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun "menjalankan kerja" bagi mengenal pasti dalang insiden itu yang sehingga kini telah mengorbankan 10 anggota keselamatan dan 63 pengganas," katanya dipetik dari The Star Online.

Sementara itu, beliau (gambar) berkata KDN telah bekerjasama dengan agensi perisikan serantau bagi menyiasat dan mengenal pasti dalang insiden pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina di Sabah.
Menurutnya, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjalin kerjasama rapat dengan National Intelligence Coordinating Agency (NICA) Filipina.

"National Intelligence Coordinating Agency, Filipina memang mempunyai kerjasama yang rapat dengan Cawangan Khas kita. Kita mendapatkan maklumat (perisikan) terkini berhubung kait dengan pembabitan pihak ketiga selain daripada maklumat tentang kumpulan (Jamalul) Kiram (pemimpin pengganas Sulu).
"Ia juga (maklumat perisikan) sama ada membabitkan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) ke, kumpulan Nur Misuari (bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)), kepada pihak-pihak politikus atau pengganas-pengganas tertentu," katanya

Jelasnya, kerjasama baik di antara Kuala Lumpur dan Manila terbukti baru-baru ini apabila kapal pengawal pantai Filipina menahan 38 penceroboh di perairan Tawi-Tawi apabila mereka cuba balik ke republik tersebut.
KDN, katanya, telah mewujudkan rangkaian kerjasama yang baik dengan agensi perisikan serantau sejak daripada dahulu, bertujuan memastikan rantau ini terus kekal aman dan stabil.

Hishammuddin berkata, hubungan perisikan baik bukan sahaja terjalin di antara Malaysia dengan Filipina tetapi juga dengan Aseanapol dan secara kerjasama dua hala seperti dengan Indonesia. TMI

No comments:

Post a Comment