KUALA LUMPUR, 23 Mac — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui
terdapat sejumlah kecil pendaftaran berganda dalam daftar pemilih dan
mengatakan akan menyemak tuduhan penulis blog pro Umno “Papa Gomo” atau
nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah “pengundi hantu”.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) memberitahu The Malaysian Insider,
suruhanjaya tersebut akan menyemak status Azri dengan Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) selepas PKR mendakwa penulis blog tersebut terdaftar
sebagai pengundi di dua kawasan parlimen – Ampang dan Wangsa Maju.
“Memang ada sejumlah kecil isu pendaftaran berganda seperti ini,
tetapi ianya very small number (mempunyai angka yang kecil),” kata
beliau kepada The Malaysian Insider.
“Pegawai saya akan buat semakan berhubung perkara ini dengan polis,” tambah beliau lagi.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli membuat pendedahan tersebut
semalam selepas partinya menyemak laman sesawang SPR menggunakan kad
pengenalan awam Papa Gomo dan kad pengenalan polis yang didakwa milik
penulis blog tersebut.
Menurut Abdul Aziz, pendaftaran berganda melibatkan polis atau
anggota tentera kebiasaannya berlaku apabila selepas seseorang anggota
keselamatan itu tamat atau ditamatkan perkhidmatan, perkara ini tidak
dibawa kepada SPR menyebabkan data tidak dapat dikemaskini.
“Hanya SPR yang boleh bersihkan nama mereka (anggota polis atau
tentera) dalam daftar pemilih. Jabatan (polis dan tentera) tidak boleh
lakukan perkara ini,” menegaskan hanya suruhanjaya tersebut yang boleh
melakukan perubahan dalam daftar pemilih.
Beliau mengatakan SPR sudah menghentikan penggunaan nombor kad
pengenalan polis dan tentera dalam Pilihan Raya 2013, sambil menambah
mereka hanya akan menggunakan nombor kad pengenalan awam anggota
keselamatan tersebut.
“Tetapi sekarang semua anggota tentera dan polis sudah mempunyai
nombor kad pengenalan awam. SPR akan menggunakan nombor kad pengenalan
awam bagi polis dan tentera bagi tujuan pilihan raya.
“Kalaupun penulis blog itu cuba untuk mengundi dengan menggunakan kad
pengenalan polis, dia tidak akan dibenarkan mengundi,” tambah Abdul
Aziz lagi.
The Malaysian Insider difahamkan ini adalah pertama kali pasukan
keselamatan akan menggunakan nombor kad pengenalan biasa untuk mengundi,
oleh kerana pengundian pos sudah digantikan dengan pengundian awal,
salah satu langkah SPR untuk memperbaiki proses mengundi.
Abdul Aziz juga tidak menolak kemungkinan kes pendaftaran pengundi
berganda penulis blog tersebut melibatkan dua orang yang berbeza.
“Orang yang ada nama sama ni banyak. Tarikh lahir sama, tempat lahir
sama, tetapi kalau terbukti ianya orang yang sama, kita akan keluarkan
nama dia dari daftar pemilih polis,” katanya.
Walaupun SPR telah dikritik oleh parti pembangkang dan pertubuhan
bukan kerajaan dengan tuduhan gagal untuk menjalankan pilihan raya adil,
suruhanjaya tersebut telah memperkenalkan beberapa perubahan untuk
memperbaiki perjalanan pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal dan
undi pos bagi rakyat Malaysia di luar negara untuk Pilihan Raya 2013.
Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR semalami, Rafizi turut
mendakwa Papa Gomo yang disaman semalam kerana memfitnah Anwar pernah
disabitkan dengan kesalahan rasuah pada masa lalu.
“Siasatan menunjukkan individu bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris
ini adalah bekas polis trafik yang berpangkat koperal yang telah
dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang
disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah,” kata Rafizi,
selepas menunjukkan laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) menggunakan namanya dalam anggota polis dan kad pengenalan
polisnya.
Beliau kemudian menunjukkan dua mukasurat dari laman sesawang
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menunjukkan dua tarikh lahir berbeza
yang menyebabkan PKR menyiasat alamat yang digunakan oleh Papa Gomo.
Rafizi mendakwa dokumen mahkamah dan alamat surat-menyurat rasmi
menunjukkan Papa Gomo mempunyai dua alamat rumah, di Ampang dan Wangsa
Maju.
Apabila ditanya bukti adakah kedua-dua nama yang tertera di pangkalan
data SPRM itu adalah Papa Gomo, Rafizi sekali lagi berkata dokumen
mahkamah dapat menyamakan kedua-dua nombor kad pengenalan berkenaan, dan
berkata beliau mahu respon dari blogger itu sebelum menunjukkan bukti
tersebut.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment