Saturday, March 23, 2013

‘Tetamu’ tak diingini dikesan

myMetro 23 Mac 2013

Dua wanita yang menyamar sebagai tetamu kenduri kahwin diburu polis berhubung kes kehilangan barangan kemas di sebuah rumah pengantin di Taman Tasik Permai, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shaharom Anuar Abdul Latif berkata, polis mengenal pasti kedua-dua suspek hasil penelitian terhadap rakaman video pada majlis perkahwinan berkenaan. Menurutnya, hasil rakaman itu mendapati kedua-dua wanita berusia 30-an itu langsung tidak dikenali mangsa dan keluarga. “Video itu ditonton berulang kali dan polis mengesyaki kedua-dua wanita itu terbabit dalam kes kehilangan wang hantaran milik pengantin RM8,000,” katanya.

Justeru, katanya, polis meminta dua suspek berkenaan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah atau menghubungi Inspektor Razalee di talian 05-3629222 untuk membantu siasatan.
Shaharom berkata, seorang wanita berusia 56 tahun yang menetap di Taman Tasik Permai, di sini, mendakwa wang hantaran serta barangan peribadi milik keluarganya disimpan di bilik lesap.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa memaklumkan beberapa barangan berharga termasuk tiga unit telefon bimbit jenis Nokia, dua unit telefon jenis Blackberry, wang hantaran berjumlah RM8,000 dan beberapa dokumen pengenalan diri hilang pada hari kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang ketika mangsa sibuk melayan ketibaan tetamu yang hadir pada majlis kenduri perkahwinan itu.
“Kehilangan semua barangan itu disedari mangsa kira-kira jam 2.30 petang selepas memasuki bilik berkenaan untuk memeriksa barangan berharga itu,” katanya.

Katanya, pihaknya memeriksa rakaman video pada majlis perkahwinan itu sebelum mengesan dua wanita mencurigakan.
Menurutnya, beliau ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada terutama ketika menganjurkan majlis kenduri atau keramaian selain menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat dan berkunci.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihat mengawasi kehadiran individu yang tidak diundang,” katanya.

Shaharom berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment