KUALA LUMPUR, 21 Mac — Pedagang Filipina yang melalui laut tidak
lagi diberikan pas dagangan istimewa mulai April ini kerana pihak
berkuasa memperketatkan sempadan berikutan pencerobohan puak bersenjata
“Kesultanan Sulu” bulan lalu.
The Philippine Daily Inquirer melaporkan ketua pengarah
jabatan imigresen Malaysia Datuk Alias Ahmad berkata di stesen radio
Sabah ketika lawatan beliau ke Kota Kinabalu semalam bahawa Kad
Pengenalan Laut (SIC) kepada pedagang Filipina akan dihentikan.
Menurut akhbar tersebut, pegawai imigresen sebelum ini membenarkan
kemasukan warga Filipina ke Sabah dan Labuan tanpa pasport tetapi
asalkan mereka membawa SIC, dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut
Malaysia.
Dokumen itu dikeluarkan untuk pedagang barter memasuki Malaysia dan
mereka perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk sijil pemeriksaan
kesihatan dan yuran RM50.
“Sebelum ini kita mengeluarkan SIC untuk pedagang barter yang tiada
dokumen perjalanan,” kata Alias yang dipetik dalam akhbar tersebut,
sebelum menambah ia adalah “kesilapan” bagi pihak berkuasa Malaysia.
Alias juga mendedahkan sejumlah 18,388 SIC dikeluarkan kepada orang
asing tahun lalu, tetapi tidak menyatakan kewarganegaraannya.
“Dengan begitu, kita tak tahu dari mana mereka datang, mereka mungkin
dari negara lain tapi boleh mendakwa mereka dari Filipina,” katanya
lagi.
Dengan menghentikan pengeluaran SIC, Alias berkata ia membantu
mengetatkan keselamatan sempadan laut Malaysia tetapi ini bukan bermakna
menghalang warga Filipina untuk memasuki negara ini.
Beliau berkata mereka yang memasuki Malaysia dengan mematuhi
undang-undang dan mampu mengikut syarat-syarat, pihak berkuasa akan
membenarkan mereka masuk.
Dibawah undang-undang baru itu, Alias berkata pedagang Filipina perlu
membawa pasport dan dokumentasi pedagang laut sebelum mereka dibenarkan
masuk ke Sabah atau Labuan sebelum 15 April.
“Sekarang kita mengetatkan undang-undang mengikut keperluan dan
amalan antarabangsa bahawa pendatang asing perlu membawa dokumen
perjalanan untuk memasuki negara lain,” katanya lagi.
Beliau menambah jabatan imigresen juga akan mengetatkan pergerakan
pedagang ini, dengan menghadkan jumlah hari mereka yang dibenarkan untuk
tinggal di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mereka yang gagal mematuhi undang-undang baru tersebut akan ditangkap
dan dibicara di bawah undang-undang imigresen Malaysia, tegas Alias.
Kenderaan yang membawa warga Filipino tanpa dokumen dan memasuki
kawasan perairan Malaysia akan ditahan dengan undang-undang anti
penyeludupan manusia dan imigresen Malaysia.
Pada 9 Februari, sebuah bot membawa 200 orang bersenjata yang
diketuai “raja muda Sultan Sulu” dari selatan Filipina mendarat di
Kampung Tanduo, di pantai Lahad Datu, Sabah.
Kehadiran mereka menimbulkan tanda tanya mengenai keselamatan di
sempadan Malaysia, dan pihak berkuasa menggandakan usaha mereka bagi
memastikan pencerobohan tidak berlaku lagi pada masa hadapan. TMI
No comments:
Post a Comment