Sunday, March 3, 2013

Tian Chua: Kenyataan saya disalah tafsir

Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2013
Tian Chua
Tian Chua
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa kenyataannya yang mengaitkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara Umno telah disalah faham.

Menurutnya, kenyataan beliau yang disiarkan portal rasmi PKR itu langsung tidak merujuk kepada peristiwa penembakan yang mengorbankan dua anggota keselamatan negara.

Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan tersebut dibuat sebelum berlakunya kejadian yang membabitkan pertempuran antara pihak keselamatan negara dengan penceroboh dari selatan Filipina.

“Saya mengatakan ia sandiwara Umno kerana mereka sering mengaitkan pembangkang di sebalik insiden di Lahad Datu. Sedangkan, kerajaan sendiri asyik berdolak-dalik mengenai situasi sebenar di sana.

“Secara kebetulan kenyataan saya itu disiarkan pada hari sama dengan kejadian penembakan tersebut. Lalu menyebabkan ramai yang tersalah tafsir kenyataan saya dan mengaitkannya dengan insiden yang meragut nyawa itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, beliau tidak sesekali mempersoalkan pengorbanan anggota keselamatan yang terlibat dalam pertempuran di Lahad Datu, kelmarin.

“Saya berasa simpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.

No comments:

Post a Comment