26 April 2013
BALING - Lima belas pondok yang dijadikan kediaman pelajar Madrasah
Nurul Islah, Kampung Parit Panjang di sini musnah dalam kebakaran malam
tadi.
Dalam kejadian 8.15 malam itu, seorang pelajar berusia 16 tahun luka
akibat terkena kayu ketika membantu rakannya menyelamatkan kitab-kitab
pengajian mereka.
Mudir Madrasah Nurul Islah Mohd Fadhil Abd Hamid, 34, berkata sewaktu
kejadian pelajar yang mendiami pondok yang terbakar bersama pelajar lain
seramai 90 orang sedang membaca surah Yasin di surau madrasah itu.
"Seorang pelajar yang terbatal wuduknya turun dari surau (untuk
mengambil wuduk) dan terpandang api sedang marak membakar beberapa buah
pondok," katanya.
Beliau berkata 15 pondok tidak dapat diselamatkan tetapi tindakan cepat
pelajar itu dapat membantu menyelamatkan pondok-pondok berdekatan
daripada turut musnah.
"Kami terpaksa mengunakan getah paip untuk menyalurkan air bagi
memadamkan kebakaran sementara menunggu anggota Bomba Dan Penyelamat
sampai," katanya.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Sik dengan 14 anggota tiba untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Seorang pelajar yang pondoknya musnah, Mohd Shahmil Mohd Ridzuan, 17,
berkata dia terpaksa mengingatkan rakan-rakan lain supaya tidak masuk ke
kawasan api yang sedang marak.
"Walaupun kami gagal menyelamatkan banyak kitab yang berharga serta
pakaian dan kad pengenalan namun kami semua bersyukur kerana tiada
seorang pun rakan kami yang cedera teruk," katanya.
Madrasah Nurul Islah yang mempunyai pelajar dari seluruh negara
diasaskan pada 1968 dan masih mengekalkan sistem pondok untuk
pelajarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau kewangan bagi
meringankan beban pengurusan madrasah ini boleh membuat sumbangan
melalui akaun Pondok Nurul Islah 02048010050907 (Bank Islam Malaysia
Berhad) atau menghubungi Mohd Fadhil di talian 019-4616368.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Baling ketika dihubungi berkata punca kebakaran masih disiasat. - Bernama
No comments:
Post a Comment