Saturday, April 6, 2013

Annuar: 'Saya terima keputusan mahkamah, ubah FAM wajib dilakukan'

sinarharian
6 April 2013
Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
PRESIDEN Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa akur keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang memutuskan penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM) dan daripada aktiviti bola selama 30 bulan adalah sah.

Menulis di laman sosial Facebook, Annuar berkata, “mahkamah tinggi memutuskan untuk menolak semua tuntutan saman saya terhadap FAM dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad."

“Saya terima dengan hati terbuka dan telah mengguna opsyen yang ada menurut undang undang,” tulis Annuar lagi.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Hakim Hadariah Syed Ismail memutuskan tindakan FAM adalah betul dan tidak cacat kerana persatuan itu mempunyai budi bicara untuk bertindak sedemikian.

Pada 5 Jun lalu, Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan kedua.

Katanya, meskipun gagal dalam kes tersebut, Annuar dilihat seolah-olah tidak mengalah apabila beliau melaungkan semuanya ini baru bermula dan belum berakhir terutama usaha untuk memperbetulkan kepincangan berkaitan Artikel 88.

“Usaha selanjutnya untuk memperbetulkan kepincangan terutama berkaitan Artikel 88 dan ia belum berakhir malah baru nak bermula.

“Tapi sekali lagi ditegaskan ia akan tetap mengikut peraturan, Insya-ALLAH,” jelas Annuar.

Tambah Annuar, "proses mengubah FAM sama ada dari segi kepimpinan atau peraturannya memerlukan tindakan yang berbeza dan ia perlu dan wajib dilakukan."

"Langkah ke arah ini tidak boleh dihalang sesiapa kecuali badan gabungan FAM sahaja, jadi ia perlu dilakukan secara tertib dan menurut peraturan.

“Apa pun, kita tidak semestinya menunggu Exco FAM melakukannya kerana mereka berkepentingan dan setakat ini mengecewakan.

“Jadi, kita sebagai ahli yang berhak membuat keputusan dan langkah ke arah itu sedang berjalan dan akan diteruskan,” jelas beliau.

Pada 4 April 2012, Annuar dikenakan hukuman gantung 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas jawatankuasa itu mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar negatif mengenai skuad bola sepak negara.

Akibat hukuman itu, Annuar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak negara, serta aktiviti Kafa di mana beliau adalah presiden.

No comments:

Post a Comment