(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LUMPUR 7 Apr: Calon KEADILAN di Parlimen P092 Sabak Bernam,
Profesor Dr Abdul Aziz Bari yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah
untuk menang di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
Menurut Aziz, sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat di Sabak
Bernam berada di kedudukan ‘nombor satu di Selangor dan nombor 10 di
Malaysia’.
“Umno-BN
menang kurang daripada 10 peratus pada pilihan raya umum 2008. Undi
mereka menurun sebanyak 9.7 peratus berbanding 2004.
“Sabak Bernam lebih cerah dari segi peluang, hatta kalau dibanding
dengan Pandan dan Sepang,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Islam
Antarabangsa itu.
Ini adalah kali pertama Aziz bertanding pilihan raya, dalam usaha
menempatkan dirinya sebagai wakil di institusi perundangan tertinggi
negara.
Pakar perlembagaan yang tidak asing dalam dunia akademik ini berkata,
gerak kerja dan persiapan kempen pilihan raya bagi menawan P092, telah
dimulakan sejak berbulan lalu.
“Alhamdulillah, gerak kerja lancar. BN cuma nampak hebat dari segi
pasang bendera sahaja. Program mereka cuma sampaikan BR1M (Bantuan
Rakyat 1Malaysia). Itu pun kecoh, rakyat dihina macam duit itu duit
poket mereka (Umno BN),” kata Aziz.
Dalam pada itu kata Aziz, ada di kalangan penduduk di kawasan
pedalaman di Selangor ditipu, kononnya pemberian air percuma di negeri
itu dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional.
Katanya, kempen itu giat dijalankan oleh ketua-ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan pusat.
“Ketua kampung Umno-BN ini dibayar gaji oleh pusat. Mereka ini hanya
membuang duit rakyat sebab mereka tidak buat apa-apa, sekadar menabur
penipuan Umno untuk memastikan parti itu terus bergerak di peringkat
akar umbi,” katanya kepada Keadilan Daily.
Pada PRU 11 pada tahun 2004, calon KEADILAN, Badrul Amin Bahron tewas
kepada Mat Yasir Ikhsan dari Umno dengan perbezaan 5,348 undi. Badrul
Amin meraih 8,478 undi dari jumlah 30,862 pengundi, sementara Mat Yasir
memenangi 13,826 undi.
Bagaimanapun, undi majoriti berjaya dikurangkan secara drastik hingga
1,335 undi dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008. Badrul memperoleh 10,720
berbanding Abdul Rahman Bakri dari Umno yang memenangi kerusi itu dengan
12,055 undi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
No comments:
Post a Comment