SHAH
ALAM, 5 April — Seorang bekas timbalan pengarah Bahagian Kandungan dan
Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)serta
isterinya, masing-masing dihukum penjara lima dan empat tahun serta
denda RM1.25 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah
membabitkan nilai RM250,000 berkaitan projek makmal forensik digital di
suruhanjaya itu.
Hakim Mahkamah Sesyen M.Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas
berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Noor
Mohamed Khan Mohamed Mastan, 40, dan Suraya Hani Ahmad Zaki, 33.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pasangan itu bagi
menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara namun memerintahkan mereka
membayar denda.
Jika gagal berbuat demikian, Noor Mohamed Khan dan Suraya Hani berdepan hukuman penjara selama setahun.
Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata mahkamah perlu menjatuhkan
hukuman berkenaan ke atas Noor Mohamed Khan kerana tertuduh didapati
bertindak sebagai perancang selain melibatkan isteri dalam kesalahan
itu.
Dia didakwa bersubahat dengan Suraya Hani, yang menerima suapan wang
tunai RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Siaga Informatics Sdn Bhd
Mohd Shukri Othman sebagai upah kononnya wanita itu telah membantu
syarikat berkenaan memperoleh surat penganugerahan bagi tender untuk
mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik
digital SKMM.
Noor Mohamed Khan, yang turut berdepan pertuduhan membantu Suraya
Hani memperoleh tender berkenaan, didakwa melakukan kesalahan itu di
pejabat Siaga Informatics Sdn Bhd di Jalan USJ 9/5T, Subang Business
Centre pada kira-kira 10.25 pagi, 14 Mac 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta
sama dibaca bersama Seksyen 28(1)© Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman
maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau
RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.
Suraya Hani, bekas pengurus akaun sebuah syarikat swasta, didakwa menerima suapan itu.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa
Raya Wong Poi Yoke memanggil 40 saksi sementara pembelaan, yang
diwakili peguam Nasir Aziz, mengemukakan empat saksi. – Bernama
No comments:
Post a Comment