KUALA
LUMPUR 15 APRIL: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh
Fadzir, berkata beliau mendapat maklumat wujud pasukan khas ditubuhkan
pihak tertentu untuk membuat video fitnah bagi merosakkan imej pemimpin
politik tertentu.
Pemimpin veteran Umno berkata, pasukan khas itu terdiri daripada beberapa pakar video yang dibayar dengan upah khas.
“Saya diberitahu bahawa terdapat suatu pasukan khas yang pakar dalam
kerja-kerja video ini telah ditubuhkan, dengan mendapat pembiayaan dan
upah khas, bagi menjahanamkan imej tokoh-tokoh politik tertentu menerusi
video-video seks.
“Mereka ini adalah pakar yang boleh memetik video-video tertentu dari
internet dan diadunkan sedemikian rupa agar menyerupai imej
pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya dalam satu kenyataan kepada
Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas video fitnah terbaru yang mengaitkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Kadir yang juga Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan)
menyifatkan pembikinan video fitnah itu sebagai sangat jijik, kejam dan
tidak masuk akal.
“Dan sekarang ini pula, yang ganjil dan pelik, terhadap seorang yang
terkenal, bersih dan kuat beragama, Datuk Mustapha Ali,” katanya sambil
menyifatkan sangat mengenali peribadi Mustafa yang bersih, bermoral dan
berprinsip tinggi sejak beliau menjadi Ketua Pemuda PAS pada awal 70an
lagi.
Baliau juga yakin rakyat kini muak dan jijik dengan pihak yang
menggunakan cara tidak bermoral itu dalam kempen menjelang Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
“Saya yakin seluruh rakyat Malaysia mengutuk dan menjijikkan kempen
politik seperti itu, dan saya berharap ianya dapat dihentikan serta
merta.
“Sejak berpuluh tahun lamanya negara dan rakyat kita telah berpolitik
secara yang begitu gentleman dan bersih, dan selepas 50 tahun lebih
kita harus lebih dewasa dan lebih matang berpolitik,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment