KUALA LUMPUR, 11 April — Datuk Ibrahim Ali akan bercuti sebagai
presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkuat kuasa
semalam untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya 2013
yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.
Menurut Ibrahim, jawatannya itu akan dipangku oleh Timbalan Presiden
Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar untuk memimpin 400,000 orang ahlinya
diseluruh negara.
“Saya telah menghantar surat untuk bercuti daripada jawatan tersebut
kepada Setiausaha Agung Perkasa hari ini dan saya yakin Abdul Rahman
serta barisan kepimpinan sedia ada mampu melaksanakan tugas mereka
dengan baik kerana organisasi ini mempunyai struktur yang tersusun,”
kata Ibrahim semalam dipetik dari akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia.
“Sama ada saya kembali untuk bertugas sebagai Presiden Perkasa atau
tidak, bergantung kepada keadaan semasa selepas pilihan raya umum ini,
tetapi buat masa sekarang, Abdul Rahman dan ahli majlis tertinggi lain
akan meneruskan pentadbiran pertubuhan ini,” tambah beliau lagi.
Hujung minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
mengatakan Ibrahim seharusnya dipilih sebagai calon Barisan Nasional
(BN) oleh kerana Malaysia memerlukan lebih ramai lagi orang seperti
presiden Perkasa itu kerana ianya baik untuk negara.
Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu mahu mempertahankan kerusi
disandangnya itu kerana masih banyak yang beliau mahu lakukan untuk
membantu penduduk kawasan itu.
“Saya sudah sebati dengan masyarakat Pasir Mas dan banyak lagi agenda
yang perlu dilakukan, lagipun keadaan kesihatan saya masih terkawal dan
tentunya saya tidak mahu mensia-siakannya,” katanya lagi.
Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya 2008 diatas tiket PAS di kerusi
tersebut dan menewaskan calon BN Datuk Rosdi Mahmud dengan majoriti
8,991 undi.
Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu wawancara
khas bersama The Malaysian Insider baru-baru ini mengatakan gabungan
pemerintah tersebut masih belum pasti untuk meletakkan Ibrahim sebagai
calon di kerusi parlimen Pasir Mas.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 5 Mei sebagai
tarikh Pilihan Raya 2013 dan 20 April sebagai hari penamaan calon.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri dipertandingkan
pada pilihan raya kali ini yang dianggap sebagai paling sengit dalam
sejarah negara.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment