(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 4 APRIL: KEADILAN hari ini mencapai genap usia 14 tahun selepas ditubuhkan pada 4 April 1999.
Presidennya,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tanggal 4 April merupakan
tarikh keramat lahirnya Parti Keadilan Nasional yang kemudian ditukar
kepada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
“Salam Reformasi! Hari ini 4 April adalah tarikh keramat lahirnya
Parti Keadilan Nasional. Satu wadah baru perjuangan dan kebangkitan
rakyat. Selamat hari keadilan. Reformasi!” kata Wan Azizah sempena ulang
tahun itu.
Idea untuk menubuhkan sebuah parti politik baru timbul selepas
insiden pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana
Menteri pada 1998.Keputusan itu diambil kalangan pemimpin pelbagai peringkat, aktivis dan penyokong gerakan reformasi.
Namun, usaha tersebut tidak diluluskan Pendaftar Pertubuhan.
Jalan lain untuk menubuhkan parti politik baru dengan mengambil alih
sebuah parti politik sedia berdaftar iaitu Ikatan Masyarakat Islam
Malaysia yang ditubuhkan pada 1990 dan dinamakan semula dengan Parti
Keadilan Nasional.
“Sejarah mencatatkan Parti Keadilan Nasional dilancarkan penubuhannya
pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur,” kata Ketua
Penerangan, Dr Muhammad Nur Manuty di twitter.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999, Parti Keadilan Nasional
membentuk kerjasama dengan PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM),
dikenali sebagai Barisan Alternatif.
Dalam pilihan raya pertama yang disertai itu, Parti Keadilan Nasional
berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan
Terengganu serta empat buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di
Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak. Kerusi DUN bertambah pada 2001
melalui Pilihan Raya Kecil Lunas, Kedah.
Selepas Pilihan Raya 1999, kesedaran timbul tentang keperluan Parti
Keadilan Nasional dan PRM bergabung, berdasarkan komitmen mereka yang
sama terhadap reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan
kuasa.
Pada 3 Ogos 2003, Parti Keadilan Nasional dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Kuala Lumpur.
Pada waktu itu, Pendaftar Penubuhan masih enggan meluluskan
pendaftaran parti. Maka pada Pilihan Raya Umum 2004, calon-calon PRM
bertanding di atas platform KEADILAN. Calon tunggal yang menang ialah
Wan Azizah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Akhirnya Parti KEADILAN Rakyat diluluskan penubuhannya selepas pilihan raya umum.
KEADILAN mendapat suntikan baru selepas pembebasan Anwar pada 2
September 2004, menyaksikan sokongan rakyat yang kian meningkat sehingga
hari ini. – NS
Short URL: http://www.keadilandaily.com/



No comments:
Post a Comment