Thursday, April 18, 2013

Lagi pemimpin BN Pulau Pinang protes isu calon


PULAU PINANG 18 APRIL: Lebih ramai pemimpin bahagian BN di Pulau Pinang menyatakan protes apabila digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei.
Dua pemimpin BN – koordinator BN untuk Machang Bubuk Ooi Suan Hoe dari Gerakan dan ketua pemuda MIC Pulau Pinang J Dhinagaran – dikatakan sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan dari parti masing-masing dan bertanding sebagai bebas.

Tiga perhimpunan diadakan di Kepala Batas, Seberang Jaya dan Bagan Dalam semalam oleh penyokong Umno yang digugurkan dan juga yang tidak dipertimbangkan sebagai calon.
Difahamkan, 70 peratus dari pusat operasi Umno di Pulau Pinang tidak aktif disebabkan rasa tidak puas hati di kalangan jentera parti ekoran calon mereka tidak termsuk dalam senarai yang diumumkan di Pulau Pinang pada hari Selasa lalu.

Satu sumber Umno menyebut, kawasan yang diterlibat termasuk Balik Pulau, Bayan Baru, Nibong Tebal, Permatang Pauh dan kawasan parlimen Tasek Gelugor.
Ditanya mengenai keputusan tersebut, Ooi bagaimanapun enggan mengesahkannya.
Namun, sumber yang dekat dengan Ooi berkata beliau merasakan bahawa pucuk pimpinan parti bertindak “tidak adil” ke atas ahli politik muda di tanah besar.
“Mereka tidak mempedulikan kerja keras kami dan menurunkan kroni mereka yang tidak berkhidmat di kawasan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang,” kata sumber tersebut kepada Malaysiakini.

Bilik Gerakan Umno ditutup
Sementara itu, beberapa bilik Gerakan Umno Pulau Pinang ditutup ekoran rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi berhubung pemilihan calon pilihan raya umum.
Ia dapat dilihat di Taman Desa Murni Sungai Dua, Merbau Kudung, Simpang Empat dan satu dua lagi tempat di Parlimen Tasek Gelugor.

Protes itu dilakukan apabila calon pilihan mereka di Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar tidak disenaraikan walaupun Tan Sri Nor Mohamed Yakcob digugurkan.
Calon bebas dikatakan akan muncul di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) akibat desakan akar umbi tidak didedahkan oleh Umno Negeri. Antaranya di Dun Sungai Dua dan Teluk Air Tawar, selain di Parlimen Kepala Batas.

Harakahdaily melaporkan, hanya perkarangan pejabat Umno Bahagian Kepala Batas berhadapan Masjid Jamidul Badawi sahaja yang masih dibuka.
Keadaan ini merunsingkan kepimpinan Umno di peringkat negeri yang bimbang parti itu  akan hilang lagi kerusi tradisi mereka.
Antaranya Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Permatang Berangan, Penanti, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bayan Lepas, Teluk Bahang dan Pulau Betong.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/

No comments:

Post a Comment