KUALA
LUMPUR, 7 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri
Muhyiddin Yassin menegaskan, jentera BN tidak seharusnya mengamalkan
sikap sambil lewa kerana menewaskan Pakatan Rakyat (PR) bukan tugas
mudah memandangkan pembangkang itu jelasnya tidak akan mudah menyerah
kalah dalam Pilihan Raya 2013 kali ini.
“Kita harus bersiap siaga, kerana tidak mudah pembangkang nak serah
kalah,” tegas Muhyiddin memberi peringatan kepada ahli BN ketika
merasmikan Command Centre BN Parlimen Batu di sini.
Menurut Muhyiddin, pekerja parti seharusnya berusaha keras bagi
menarik sokongan pengundi selagi kemenangan belum berada di pihak BN.
“Jangan tidur sampai hari akhir. Sampai dah menang, tidurlah
sepanjang mana nak tidur ... selagi kemenangan belum ada di tangan kita,
kita perlu celik, jangan biarkan musuh menyelinap di kawasan kita
sehingga boleh mempengaruhi pengundi,” tegas Muhyiddin di hadapan
sekitar 500 jentera BN yang hadir.
“Turunlah kita ke setiap kawasan, tanya khabar, masalah mereka, kalau
mereka respon, bukan mustahil Batu akan kembali kepada BN,” katanya
merujuk kepada kerusi Parlimen yang menjadi milik Chua Tian Chang
daripada PKR sejak Pilihan Raya 2008.
Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh sebelum ini
turut berkata, pekerja parti dan jentera BN tidak seharusnya memandang
remeh semua perkara kerana pengundi jelasnya adalah “raja” dan boleh
menentukan kemenangan BN.
“Tapi kita tak boleh anggap segalanya mudah, pengundi adalah penentu,
pengundi adalah raja, boleh buat apa sahaja ... mereka boleh buat apa
sahaja tanpa alasan, tiada pihak boleh paksa mereka pilih siapa,”
katanya.
Muhyiddin sebelum itu dalam rangka lawatannya ke Parlimen Batu sempat
menghadiri majlis minum petang bersama penduduk Kampung Padang Balang,
Sentul.
Malah, beliau turut mengingatkan parti komponen BN agar sentiasa
mengamalkan sikap muafakat sesama mereka bagi mencapai kemenangan untuk
BN.
“Saya tahu Batu adalah kawasan pembangunan ... kalau setiap komponen
parti berazam kita boleh capai harapan kekal menjadi kerajaan ...
komponen parti kena bekerja keras,” katanya lagi.
SPR akan bermesyuarat pada Rabu bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi Pilihan Raya 2013.
No comments:
Post a Comment