10 April, 2013 keadilandaily
PETALING JAYA 10 APRIL: KEADILAN menegaskan, penyandang Parlimen Batu, Tian Chua layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Ini kerana Hakim Mahkamah
Tinggi, Ghazali Cha dalam penghakiman bertulis pada 17 Jun 2010
mengenepikan hukuman asal, iaitu penjara enam bulan dan denda RM3,000
yang diputuskan Majistret Mohd Faizi Che Abu.
“Tian Chua
layak bertanding walaupun denda RM2,000 dikenakan terhadapnya sebelum
ini dalam satu dakwaan kes jenayah berikutan satu perhimpunan awam.
“Hakim Ghazali telah mengurangkan denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika denda tak dibayar.
“Beliau memutuskan Tian kekal
sebagai Ahli Parlimen Batu dan tidak hilang kelayakan,” menurut
kenyataan Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dibacakan
Nurul Izzah Anwar.
Merujuk perenggan 42
penghakiman, Hakim Ghazali menyatakan keputusan diambil untuk tidak
menjadikan Tian hilang kelayakan secara automatik.
Ini kerana denda untuk menjadikannya hilang kelayakan adalah RM2,001.00 ke atas, bukannya bermula daripada RM2,000.00.
Tegas Izzah, Parlimen juga sedia
maklum tentang fakta kes dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak
mengambil sebarang tindakan untuk menghilangkan kelayakan Tian sebagai
Ahli Parlimen.
“Jelas kedua-dua Parlimen dan
SPR bersetuju dengan penghakiman Ghazali atau sekurang-kurangnya melihat
tiada keperluan untuk berbeza pendapat dalam hal ini.
“KEADILAN menjangkakan bahawa
SPR akan mengarahkan pegawai pengurus di Parlimen Batu untuk bertindak
sewajarnya dalam hal ini,” kata Nurul Izzah.
No comments:
Post a Comment