30
April — Dalam kehangatan berkempen bagi Pilihan Raya 2013 yang sudah
masuk ke pusingan akhir, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Rakyat (PR) berhempas pulas untuk memenangi hati hampir 13.3 juta
pengundi.
Ketika BN mempunyai tokoh hebat seperti mantan perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad yang menjelajah ke seluruh negara untuk membantu
gabungan pemerintah itu, PAS dari PR secara tidak lengsung dibantu oleh
seorang tokoh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Sabtu lalu ketika Dr Mahathir turun ke presint 9, Putrajaya untuk
membantu calon BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang akan
berhadapan dengan Datuk Husam Musa dari PAS, Azhar turut berada di
presint 19, bandar pentadbiran kerajaan itu untuk program dakwahnya.
Kedatangan Dr Mahathir merupakan ‘serangan balas’ terhadap program
ceramah PAS pada malam sebelumnya yang menyaksikan kehadiran ribuan
orang untuk mendengar amanat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat.
Dalam kuliah tersebut, Azhar turut menyelar budaya politik lucah di
Malaysia sejak akhir-akhir ini dan membandingkannya dengan negara bukan
Islam seperti Russia yang beliau anggap lebih bertamadun kempen
pilihanrayanya.
“Tidak ada lagi dalam mana-mana negara yang berkempen cara kita
kempen. Ni yang kita malu. Bahkan bukan di planet bumi, lapan buah
planet tak dok lagi berkempen buat video lucah, tak dok,” kata Azhar
disambut dengan gelak ketawa merujuk kepada sebuah video seks tersebar
dan dikatakan mirip seorang pemimpin tertinggi PAS.
“Russia ni komunis, komunis ni dia tak percaya agama. Tetapi dalam
pilihan raya Russia komunis, pihak pembangkang dan pihak kerajaan,
masing-masing membentangkan fakta.
“Mana-mana fakta yang dapat memikat hati rakyat, biasanya parti itu
yang akan menang. Tetapi tak ada buat fitnah, video lucah,” tambah
beliau dipetik dari klip video Youtube bertajuk, “Ustaz Azhar Idrus
Perhimpunan Di Presint 19 Putrajaya.”
Azhar sebelum ini mempunyai program televisyen di saluran Astro Oasis
bertajuk “Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus”, akan tetapi menurutnya,
dihentikan kerana dikatakan boleh merosakkan akidah orang muda.
Pendakwah popular itu turut membandingkan televisyen di Malaysia
dengan Russia yang beliau dakwa lebih terbuka sewaktu kempen pilihan
raya.
“Di Russia dibenarkan 30 peratus rancangan televisyen digunakan oleh
pembangkang. 30 percent, maknanya kalau sejam, bolehlah guna 20 minit
untuk pembangkang. 40 minit presiden, 20 minit pembangkang.
“Kita lepas dia, dia, lepas dia, dia, lepas dia, dia. Kuliah Kemah
Keming pun kena banned,” kata beliau merujuk kepada program
televisyennya di Astro yang telah dihentikan.
Selain itu, Azhar turut menasihatkan hadirin dalam kuliahnya untuk
membuat keputusan tepat dalam pilihan raya 5 Mei ini dan bersama
orang-orang ‘baik’.
“Kita tanyalah nenek moyang kita, pak kita, mak kita kalau masih
hidup. Mak mak, kalau ada orang jahat dengan orang baik, kita nak masuk
ke belah orang baik ke orang jahat?
“Tak ada mak yang akan kata suruh masuk ke belah orang jahat. Maka
pada lima haribulan ni kita akan tunaikan nasihat emak kita masuk ke
belah orang baik,” katanya merujuk kepada hari mengundi pada 5 Mei
depan.
Rakyat Malaysia akan membuat keputusan pada 5 Mei ini sama ada mahu
mengekalkan BN yang telah memerintah negara semenjak mula merdeka
ataupun memberikan peluang kepada PR untuk membuktikan kemampuan mereka.
Sejumlah 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 di luar negara akan
memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN)
di 12 negeri kecuali Sarawak.
Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.TMI
No comments:
Post a Comment