Harakahdaily
M Faqih, | 08 Apr 2013 |
GUA MUSANG: Seperti
juga projek tanam semula, dalam tempoh 25 tahun pokok getah dan sawit
perlu ditebang dan diganti pokok baru. Bagi meningkatkan hasil, benih
yang ditanam perlu lebih berkualiti.
“Begitu juga hayat kerajaan akan berakhir dalam tempoh lima tahun.
Jadi kerajaan yang dipilih mesti mampu memberi pulangan hasil sehingga
boleh dibawa ke akhirat kelak,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat.
Beliau berucap merasmikan perletakan batu asas pembinaan Pejabat
Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) bersebelahan tapak pasar minggu di sini
hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim,
Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Hussin, ketua-ketua jabatan, Ketua
Whip MDGM, Hussin Embong dan pemimpin masyarakat.
Menteri Besar berkata, kerajaan pun ada tempoh hayatnya setiap lima
tahun sekali, seperti juga pokok getah dan sawit perlu ditanam semula
selepas 25 tahun.
Menurutnya tiada kaedah lain yang lebih baik melainkan menggunakan acuan Islam dalam mengurus tadbir kerajaan.
“Kerajaan kena berpandu kepada Islam. Lagi pun sepanjang pentadbiran
di bawah dasar Islam sejak 23 tahun, tidak ada pemimpin dan pegawai yang
ditangkap kerana rasuah.
“Rasuah boleh membawa seseorang masuk ke dalam neraka. Sedangkan
barat cuba memisahkan agama dan politik bagi mengelirukan umat Islam,”
ujarnya.
Beliau juga berkata, pelbagai skim berkebajikan diwujudkan kerajaan
negeri bagi memanfaatkan kepada rakyat miskin termasuk gerbang az
Ziwaaj, al It’aam, Takaful Kifaalah dan pelbagai lagi.
Mat Jusoh sebelum ini memberitahu pejabat MDGM setinggi tiga tingkat
dibina dengan kos RM7.9 juta dijangka siap dalam tempoh 15 bulan.
Katanya, pejabat baru akan dilengkap dengan kemudahan kaunter pandu
bayar bagi membolehkan orang ramai membayar cukai menggunakan kenderaan.
“Ketika menunggu untuk membayar cukai dalam kenderaan sambil-sambil
itu kita boleh membaca akhbar Sinar Harian atau Harakah,” katanya.
Sementara itu di majlis lain di Kesedar Inn Menteri Besar menyaksikan
pelancaran dan majlis menandatangani perjanjian pelaburan Kumpulan
Sumberjaya dengan Pulai Mining Sdn Bhd.
Perjanjian yang ditandatangani tersebut bagi membolehkan Sumberjaya
mengusahakan perlombongan besi dan emas di kawasan seluas 179 hektar di
Kampung Pulai, Gua Musang.
No comments:
Post a Comment