JOHOR
BARU, 14 April — Kesediaan pengundi Melayu di Johor memilih calon yang
bukan Melayu membayangkan Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan akan
memperoleh beberapa kerusi di negeri yang kini menjadi tumpuan apabila
pembangkang meletakkan kepimpinan utama mereka bertanding di negeri
berkenaan.
PR telah mula menggerakkan kempen mereka untuk menembusi tembok
penghalang kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) di Johor apabila
meletakkan Penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah
dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai.
Kebanyakan pengundi Melayu yang ditemui The Malaysian Insider ketika
ceramah PR di Kulai malam tadi menyatakan kesediaan mereka mengundi
calon bukan Melayu PR atas prinsip perjuangan mereka yang tidak
membezakan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Penerimaan pelbagai kaum kepada pimpinan PR menunjukkan tidak ada
satu jurang antara semua,” kata Mohd Noor Omar, 40, yang telah 12 tahun
menetap di Kulai.
Sementara Nordin Borhan, 64, dari Pontian turut meluahkan perkara sama ketika ditanya berhubung perkara itu.
“Tiada masalah pilih calon bukan Melayu, yang penting wakil rakyatnya
bagus ... tidak guna juga pilih sama bangsa tetapi hujung-hujung
menganiaya bangsa sendiri,” tegasnya.
PR mempunyai keahlian daripada tiga parti komponen utama pembangkang
daripada pelbagai kaum -DAP-PAS-PKR, berbeza dengan BN yang mempunyai
parti komponen berteraskan kaum.
Dua parti komponen terbesar BN adalah MCA, yang merupakan parti bagi
masyarakat Cina manakala MIC merupakan wakil suara masyarakat India
dalam gabungan pemerintah tersebut.
Selain PKR, DAP yang dikatakan parti cauvinis Cina oleh pemimpin Umno
turut mempunyai ahli dan calon daripada kaum Melayu, begitu juga PAS
yang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Melayu melalui penubuhan
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) malah turut membenarkan dua ahlinya
bertanding menggunakan lambang parti berkenaan.
“Saya tiada masalah ... jika calonnya baik, kita ketepikan lambang
parti,” kata Sadiah Tengah, 48, dari Senai yang ditemui ketika ceramah
pemimpin utama PR di sini.
Berbeza
dengan pendirian itu, pengundi Cina bagaimanapun masih melahirkan rasa
was-was terhadap kumpulan pengundi Melayu kerana tidak yakin kaum
majoriti yang membentuk 60 peratus daripada 28 juta populasi di Malaysia
itu akan mengundi calon daripada kaum lain.
Ketika ditemui, sebahagian penyokong Cina PR menyuarakan rasa was-was
kemungkinan pembangkang akan memenangi Pilihan Raya Umum 2013 kerana
undi Melayu berkemungkinan lebih memihak kepada BN.
Bekas pemandu lori berusia 50 tahun yang ditemui The Malaysian Insider
berkata BN dikenali dengan rasuah, namun menolak untuk memberikan komen
parti mana dirasakannya akan memenangi kawasan berkenaan.
“Siapa menang tak penting, yang penting adalah siapa menjaga
kepentingan rakyat,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Tay, dan
menambah ia bakal menyaksikan pertempuran ‘50-50’ antara kedua-dua
parti.
Ditanya kebarangkalian untuk PR menang di Kulai, Wong, 60 berkata:
“Malaysia ada banyak Melayu,” dan menambah perkataan “Umno” yang merujuk
kepada komuniti berkenaan yang menjadi penyokong tegar BN.
Ceramah di kawasan yang dimenangi bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka
Ting itu turut menyaksikan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit
Permai, Mazlan Aliman memberikan ucapan di hadapan hampir 5,000
penyokong PR yang turut jadir dari daerah berhampiran.
Ong memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya 2008 dengan majoriti 11,744 menewaskan calon DAP Ng Pak Siong.
Mazlan, yang juga Pengerusi Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan
(Anak) turut mengemukakan janji untuk berkhidmat sepenuhnya kepada
21,000 penduduk di DUN berkenaan sebagai pelan pertama beliau jika
menjadi ADUN kawasan berkenaan.
“Seratus peratus bulan pertama saya akan sumbang untuk pengundi Bukit
Permai, bagi memastikan perjuangan untuk rakyat pelbagai kaum menjadi
fokus utama kita,” kata Mazlan dalam ceramah beliau.
Masyarakat Cina membentuk 56 peratus pengundi di Kulai, dengan 32 peratus pengundi Melayu, dan bakinya pengundi India.
Selain itu, kehadiran jumlah penyokong yang ramai pada malam itu
turut didorong oleh ‘aura’ Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat, bersama Lim Kit Siang, apabila kebanyakan masyarakat Melayu
mengakui ingin melihat secara dekat kedua-dua pemimpin veteran tersebut.
Selain gerai makanan dan menjual barangan dan produk parti - seperti
kebiasaan ceramah PR - ceramah di Kulai malam tadi turut melihatkan
gerai makanan peniaga Cina didirikan yang memberi petunjuk kehadiran
pengundi Cina yang ramai ketika ceramah itu berlangsung.
Penganjur ceramah berkenaan, Koordinator Media DAP Kulai Wong Shu Qi
juga mengesahkan lebih RM20,000 derma berjaya dikutip pada malam itu.
No comments:
Post a Comment