Thursday, April 4, 2013

PRU13 boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei, kata pengerusi SPR


April 04, 2013
KUALA LUMPUR, 4 April — Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat semalam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata tarikh itu juga mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lepas.
“Kalau kira mulai 3 April semalam, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU13) selewat-lewatnya 28 Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Ditanya mengenai bayangan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata: “Ada bayang-bayangnya tetapi tidak sesuai saya sebutkan di sini kerana perlu dibincangkan dengan panel-panel (SPR) yang lain.” — Bernama

No comments:

Post a Comment