Tuesday, April 2, 2013

Tweet Khairul Fahmi: Saya tak ada maklumat, kata Hadi

sinarharian
2 April 2013
Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata, isu berhubung Twitter menghina Nabi Muhammad SAW oleh Khairul Fahmi Mat Som "tidak ada" dalam pengetahuannya.

"Khairul Fahmi? Saya tak baca. Saya tak ada maklumat. Tak ada dalam pengetahuan saya," katanya ketika ditemui selepas sidang media Pas, di sini, hari ini.

Khairul Fahmi merupakan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas.

Namanya menjadi perhatian apabila mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Twitternya dengan menyebut, “kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun Umno akan keluarkan... jahanam Umno” pada 27 Mac lalu.

Semalam Yang Dipertua Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani menyifatkan kenyataan Khairul Fahmi itu sebagai tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Menerusi satu kenyataan media semalam, Khairul fahmi  menegaskan beliau tidak menghina Nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia disalah tafsir oleh akhbar.

Menurutnya, budaya fitnah politik sehingga menyabitkan skandal seks pemimpin merupakan perbuatan golongan munafik dan berlaku sejak dahulu lagi.

"Membaca cerita golongan munafik agama zaman Baginda yang tidak mengenal erti suci dan maruah diri walaupun terhadap Nabi yang maksum inilah yang mendorong saya meyakini bahawa budaya politik kotor adalah kerja musuh agama bukan hanya musuh dalam politik," katanya.

Jelas Khairul Fahmi lagi, tidak ada beza perangai munafik dulu dan kini apabila mereka menggunakan fitnah melampau.

"Umno dan BN bersedia melakukan apa jua termasuk yang tidak terjangkau oleh akal pemikiran rakyat. Video seks dan cerita skandal pimpinan Pakatan Rakyat (PR) merupakan modal terkini yang mereka usahakan.

"Ini satu tindakan hina dan jijik. Jauh bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan moral yang murni. Mereka juga telah banyak menghina, fitnah, mengaibkan, rasuah, zalim, politik samseng dan banyak lagi telah menjadi amalan," katanya.

No comments:

Post a Comment