KUALA
LUMPUR, 21 Mei — “Tribunal Rakyat” yang ditubuhkan Bersih 2.0 mungkin
tiada kuasa perundangan tetapi menjadi “kuasa moral” untuk mendedahkan
dakwaan penipuan pilihan raya, kata Datuk Ambiga Sreenavasan yang
mempertahankan langkah terakhir kumpulan itu untuk membuktikan salah
laku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.
Aktivis
hak asasi terkenal itu memberitahu The Malaysian Insider Bersih 2.0
akan meneruskan usaha untuk menubuhkan tribunal yang akan diumum dalam
tempoh dua ke tiga minggu ini, walaupun mendapat kritikan daripada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Memang benar ia tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang
atau statut. Itulah sebabnya ia dipanggil Tribunal Rakyat,” katanya
ketika dihubungi di sini.
“Ia akan menjadi satu tribunal untuk mengumpulkan bukti dan apa yang
kita ada ialah kekuatan moral untuk membuktikan penipuan yang kita
dedahkan. Itu adalah matlamat utama, mengumpul bukti,” tambah beliau.
Pada 6 Mei, sehari selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Bersih
2.0 mengumumkan rancangan untuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat
beratus-ratus laporan penipuan yang didakwa berlaku semasa pilihan raya.
Gabungan lebih 80 badan bukan kerajaan tersebut menegaskan faktor
utama keputusan pilihan raya yang menyebelahi Barisan Nasional (BN)
adalah kerana penyelewengan, serta tidak akan mengiiktiraf keputusan
tersebut sehingga mereka mengenalpasti ke semua tuduhan penipuan.
Selepas PRU13, BN terus mengekalkan pemerintahan mereka sejak negara
Merdeka pada 1957 tetapi dengan majoriti lebih kecil di Parlimen.
BN mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133
kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk
menang majoriti mudah.
Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) enggan menerima kekalahan tersebut,
sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51
peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh
pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.
PR juga akan memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar
keputusan di dalam 27 kerusi Parlimen di mana BN menang dengan majoriti
kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli juga telah berkata aduan yang sama
akan dibawa ke dalam “Tribunal Rakyat” Bersih 2.0, di mana bukti yang
akan dibawa PR akan dilihat dengan lebih serius berbanding undang-undang
dalam mahkamah.
Ambiga berkata kepada The Malaysian Insider semalam tribunal itu akan
dipengerusikan oleh panel lima anggota, yang akan terdiri daripada
individu yang mempunyai reputasi baik dan bukan ahli mana-mana parti
politik ataupun daripada kumpulan Bersih 2.0 sendiri.
Beliau berkata panel tersebut akan mengeluarkan rangka untuk mereka
menjalankan siasatan, selain membuat keputusan mengenai terma rujukan
yang sesuai, sebelum memulakan sebarang sesi pendengaran.
“Kami mengharapkan beberapa jenis cadangan atau penemuan dibuat. Ia
akan diserahkan kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk
badan-badan hak asasi manusia seperti Suhakam,” katanya.
“Bagi Bersih ... peranan kita adalah hanya untuk memudahkan penubuhan
tribunal. Sehubungan dengan itu, kami tidak akan terlibat. Ia mesti
benar-benar bebas,” katanya.
Ambiga juga menjelaskan bahawa penubuhan tribunal itu mengambil masa
lama daripada yang dirancang kerana kerumitan skop siasatan, serta
pemilihan ahli-ahli panel.
“Kami asalnya mahu ia dilakukan pada bulan Jun tetapi ia kelihatan
mustahil pada ketika ini. Kami perlu mengumumkan panel itu dalam masa
dua atau tiga minggu.
“Tetapi apabila panel memulakan pendengaran mereka, ia terpulang kepada ahli untuk membuat keputusan mereka,” katanya lagi.
Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR
menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan
berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak
84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di
Malaysia.
“Kami telah berjaya menjalankan pilihan, sebanyak 85 peratus pengundi
keluar... kami telah jalankan tugas dengan baik berdasarkan jumlah
keluar mengundi,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar
minggu lepas.
PR telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara
untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan PRU13, malah
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemenangan PR telah
dicuri.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment