PETALING JAYA, 17 Mei — Tiga suspek rompakan barang kemas yang
ditembak mati anggota polis di Taman Billion, Cheras, pada 14 April
2012, dakwa peguam N. Surendran dan Latheefa Koya telah dibunuh oleh
pihak polis kerana hasil laporan bedah siasat bertentangan dengan
kenyataan polis.
Kedua-dua peguam berkenaan ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di
sini menegaskan, laporan bedah siasat mendapati kedudukan peluru yang
mengenai ketiga-tiga suspek tersebut menunjukkan mangsa ditembak ketika
mereka berlutut dan bukannya ditembak dari hadapan, seperti dalam
kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.
“Polis berkata mereka ditembak mati apabila salah seorang suspek
melepaskan tembakan ke arah pasukan polis ... tetapi laporan bedah
siasat mendapati peluru yang mengenai mangsa itu tidak ditembak dari
hadapan, tetapi kedudukan peluru menunjukkan ia datang dari atas ke
bawah, dan kanan ke kiri,” dakwanya kepada pemberita.
“Mangsa berkemungkinan sedang berlutut ketika ditembak.”
Dua beradik, Noor Azman Othman, 39, Aidi Noor Hafizal Othman, 23, dan
seorang rakan mereka, Saufi Ahmad, 23, merupakan suspek rompakan kedai
emas di Shah Alam telah ditembak mati di bulatan Taman Billion awal pagi
14 April 2012.
Azman ditembak sebanyak lapan das, manakala Aidi ditembak sebanyak 11 kali.
“Versi polis satu penipuan, kalau betul berlaku tembak-menembak,
seharusnya peluru datang dari arah hadapan, bukannya atas ke bawah,”
kata Surendaran, yang juga Naib Presiden PKR.
“Malah laporan bedah siasat turut mendapati berlaku kecederaan di
bahagian kepala dan dahi serta kawasan badan juga menunjukkan berlakunya
pergelutan antara mereka.”
Ahli Parlimen Padang Serai itu turut menggesa pasukan polis dan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan berhubung perkara
itu.
“Kami desak penyiasatan kes pembunuhan ini, dan KDN perlu jawab ...
anggota polis yang terlibat digantung dan ditahan serta merta, termasuk
penyiasatan terhadap pegawai tertinggi polis kerana melindungi kes ini,”
katanya lagi.
Turut hadir ketika sidang media hari ini adalah bapa kepada Noor
Azman dan Aidi Noor Hafizal, Othman Yusoff, serta ibunya, Sosnijan
Sarwarkhan.
No comments:
Post a Comment