Sunday, May 12, 2013

Chua Soi Lek enggan undur diri, kekal pendirian MCA tidak terima jawatan kerajaan

TERKINI @ 04:15:03 PM 11-05-2013
Oleh Md Izwan May 11, 2013

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan mengundur diri sebelum memastikan parti MCA stabil. - Gambar failKUALA LUMPUR, 11 Mei — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata enggan mengundur diri daripada jawatan presiden MCA walaupun terdapat tekanan, disamping kekal dengan pendirian parti tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Dr Chua berkata mahu memastikan parti tersebut stabil terlebih dahulu sebelum mengundur diri dan mengakui bertanggungjawab ke atas keputusan yang diperoleh parti tersebut.
“Saya akan pergi pada masa yang sesuai, selepas selesai segalanya.
“Selepas semua berada dalam keadaan baik dan tersusun semula,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat MCA disini.
Kenyataan Dr Chua tersebut hadir selepas sekumpulan pemimpin veteran MCA menggesa perletakkan jawatan semalam, namun Dr Chua berkata sokongan akar umbi ke atasnya masih kuat.

“Mereka (pemimpin veteran MCA) sangat menyayangi parti ini, tetapi pada masa sama ramai juga yang masih menyokong saya kekal,” kata Dr Chua mengulas tentang gesaan sekumpulan pemimpin veteran parti yang mahu beliau letak jawatan kerana prestasi buruknya.

Dalam pada itu, Dr Chua juga mengulangi pendirian yang dibuat semasa mesyuarat agung tahunan lalu bahawa parti tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika gagal mendapat keputusan baik dalam PRU13.
“Parti akan mematuhi semua resolusi yang dibuat pada AGM 2011 dan 2012 lalu, dimana MCA akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan jika prestasi parti buruk dalam Pilihan Raya 2013,” kata Dr Chua lagi.

Berbeza dengan rakan komponen BN lain seperti Gerakan dimana presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengumumkan perletakkan jawatan pada 15 Mei ini, Dr Chua berkata mahu mengukuhkan parti tersebut dahulu dengan mengadakan pemilihan parti secepat mungkin pada bulan depan diperingkat bahagian, negeri dan pusat dan dijangka berakhir Disember nanti.

Dr Chua juga berkata tidak menolak akan melepaskan jawatannya tetapi berhasrat melakukan selepas berakhir pemilihan parti yang dijadualkan berakhir pada Disember lalu.
“Saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan berundur ketika dalam tempoh pemilihan parti berlangsung antara Jun hingga Disember nanti,” tambahnya.

Pada PRU-13, Ahad lalu, MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi yang ditandinginya dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi ditandingi.
Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

No comments:

Post a Comment