KUALA
LUMPUR, 20 Mei – Walaupun permohonan Pakatan Rakyat (PR) untuk
menggunakan Stadium Suka Menanti ditolak pentadbiran Menteri Besar Datuk
Mukhriz Mahathir, Himpunan 505 yang dijadualkan pada 21 Mei ini akan
tetap diteruskan di Kompleks PAS Kedah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain kesal dengan
pentadbiran Mukhriz, himpunan yang turut membariskan kepimpinan
tertinggi PR itu tetap dijangka akan menarik kehadiran lebih 50,000
penyokong PR walaupun lokasinya berpindah di saat-saat akhir.
“Kita tukar lokasi ke Kompleks PAS Batu 9, Kota Sarang Semut. Kita
tidak perlukan permit kerana itu adalah premis kami,” katanya kepada The
Malaysian Insider hari ini.
Antara kepimpinan PR yang dijangka hadir adalah Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng, dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Sebagai menteri besar muda, Mukhriz diharapkan untuk menyaingi
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana mengatakan kementerian
itu bukan kementerian BN (Barisan Nasional), tetapi untuk semua.
“Namun saya kecewa kerana beliau orang muda yang tidak dapat menjiwai
hak orang muda untuk melaksanakan demokrasi terbuka, bebas, dan
memberikan hak kepada semua,” katanya.
Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut menegaskan, pentadbiran PAS
Kedah sebelum ini tidak pernah memilih bulu dalam memberikan kebenaran
kepada kerajaan untuk menggunakan premis kerajaan negeri berkenaan untuk
menganjurkan program mereka walaupun mereka memaki hamun PAS.
“Pentadbiran kita dahulu kita amalkan liberalisasi demokrasi di
Kedah, Umno dan BN boleh guna (premis kerajaan negeri) untuk maki PR,
adu domba, politik perkauman, hasutan semua kita benar ... kenapa kita
hari ini dihalang?” soalnya, dan menambah, Mukhriz juga adalah orang
muda yang terkongkong dengan perasaan ketakutan terhadap kesedaran
politik rakyat.
“Malang bagi anak muda Kedah,” tegas Mahfuz lagi.
Mukhriz telah menolak permohonan pembangkang mengadakan perhimpunan
di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Selasa ini atas alasan
perhimpunan seperti itu tidak wajar diadakan.
Walaupun berpendapat mana-mana pihak boleh mengadakan perhimpunan,
Mukhriz menegaskan pengisian himpuna berkenaan juga perlu diteliti
sebelum diberikan kebenaran.
“Perhimpunan ini yang telah diadakan di beberapa tempat di seluruh
negara bertujuan menimbulkan rasa benci di kalangan peserta terhadap
kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat untuk tubuhkan kerajaan
Persekutuan serta di Kedah ini. Ini suatu yang tak boleh diterima.
“Kalau setakat nak berhimpun tidak ada masalah. Ini kandungan ucapan
oleh pemimpin pakatan pembangkang sarat dengan tohmahan dan dakwaan
tidak berasas,” katanya sebelum ini.
Kedah Pada Pilihan Raya 2008 jatuh ke tangan pembangkang dan PAS
telah melantik Datuk Seri Azizan Razak untuk memegang jawatan sebagai
menteri besar Kedah.
Pada Pilihan Raya 2013, negeri berkenaan jatuh kembali ke tangan BN,
apabila pakatan kerajaan berjaya mendapat 21 kerusi, dan pembangkang
hanya mendapat 15 kerusi.
No comments:
Post a Comment