Harakahdaily
LanH14, | 12 Mei 2013 |
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan: "Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan
berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
KETIKA berceloteh mengenai suasana hari penamaan calon di Melaka 20
April lalu, saya menyatakan ada 'kemajuan menarik' antara PAS dan DAP
tatkala melihat buat pertama kalinya penyokong kedua-dua parti saling
bercampur dengan bendera mereka (bulan dan roket) berkibaran berselang
seli. Situasi itu tidak saya lihat pada PRU 2008 dan sebelumnya.
'Percampuran' itu terbukti membantu PAS dalam melahirkan anak
sulungnya di bumi Hang Tuah (PAS melalui calonnya Dr Mohd Khalid Kassim
menang di Bukit Baru, N17 dengan majoriti 48 undi) manakala DAP meraih
manfaatnya apabila akhirnya berjaya mengakhiri legasi BN (MCA) di
kawasan seperti Duyong (N23). Di Duyong, Pengerusi MCA Melaka yang juga
penyandang kerusi itu, Dato' Gan Tian Loo ditewaskan oleh Pengerusi DAP
negeri, Goh Leong San dengan majoriti 205 undi.
Tentunya kejayaan itu dibantu KeADILAN, dan ia menjadi lebih manis
lagi apabila ikatan padu ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu
melenyapkan ego Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang kecundang
di kawasan Parlimen Bukit Katil (P137) dengan majoriti agak besar
(5,447 undi) di tangan Pengerusi KeADILan Melaka, Shamsul Iskandar Md
Akin. Kekalahan Mohd Ali yang pernah mengadakan majlis kahwin anaknya
yang dihadiri lebih 100,000 tetamu, diselubungi 'misteri' seperti
terpadamnya lampu ketika pengiraan undi. Beliau menyalahkan rakyat
terutama orang Cina yang dakwanya tidak pandai 'mengenang budi'.
Berdasarkan senario di Dun dalam Parlimen Bukit Katil (Bukit Baru,
Bachang, Ayer Keroh dan Ayer Molek) dan Parlimen Bukit Katil sendiri,
ada iktibar menarik yang boleh dijadikan panduan. Hanya kawasan inilah
yang mencatatkan perubahan di Melaka; kawasan lain (luar bandar) tetap
didominasi oleh BN manakala di bandar (terutama Kota Melaka) dimonopoli
DAP.
Di Dun Bukit Baru, pengundi Melayunya ada kira-kira 55 peratus, Cina
lebih kurang 40 peratus manakala India kira-kira 5 peratus. Dipercayai
pengundi Melayu berpecah dua; dan apabila situasi ini berlaku, dengan
undian pengundi Cina terutama daripada DAP menyebelahi calon PAS, maka
tercatatlah sejarah Dr Khalid yang pernah menjadi Timbalan Pengarah
Hospital Melaka, 'melahirkan anak sulung' PAS di negeri Hang Tuah.
Bagi Parlimen Bukit Katil (pengundi Melayunya 51 peratus, Cina 42
peratus dan India 6 peratus) faktor kebangkitan anak muda dan kesedaran
sesetengah pengundi akan amalan korupsi dan seumpamanya, dibantu
kejituan jentera dan penyokong PAS, KeADILan dan DAP serta kewibawaan
dan kelantangan calonnya (Shamsul Iskandar), memberi sumbangan kepada
kejatuhan Mohd Ali, ketua menteri selama lebih sedekad.
Jika ditinjau kemenangan DAP (Goh Leong San) di Duyong pula (pengundi
Cina lebih 50 peratus, Melayu 45 peratus dan India 4 peratus), saya
percaya selain daripada sokongan pengundi tegar DAP, kesediaan ahli dan
penyokong PAS dan KeADILan untuk memberi undi kepadanya berdasarkan
suntikan semangat Pakatan Rakyat; menyebabkan Tian Loo beserta
penyokongnya daripada orang Cina dan Melayu tersungkur sama.
Rumusannya, kerjasama erat PAS, DAP dan KeADILan, membolehkan
ketiga-tiga pihaknya mencatat kejayaan ditandingi calon mereka yang
merupakan sejarah di bumi Hang Tuah. Penyokong rakan PAS dalam Pakatan
Rakyat terutama DAP telah membuka laluan untuk PAS mencatat 'kelahiran
anak sulung' dengan memenangi Dun Bukit Baru manakala penyokong PAS
telah membantu calon DAP untuk menang di Dun seperti Duyong.
Berkenaan sahabat saya, Harun Mohamed yang bertanding di Dun Telok
Mas (N23) seperti dicoretkan dalam keluaran lalu; syabas diucapkan
kerana beliau berjaya merapatkan jurang majoriti kekalahan kepada hanya
701 undi (beliau mendapat 7,332 undi berbanding Latiff Tamby Chik
memperolehi 8,033 undi), Mungkin undian penyokong DAP sebagai bantuan
kepadanya masih tidak memadai untuk beliau menang kerana kawasan itu
mempunyai pengundi Melayu yang tinggi (70 peratus) sedangkan Cina hanya
28 peratus.
Akhir sekali, syabas PAS Melaka kerana berjaya melahirkan anak
sulung; pada PRU berikutnya diharapkan dapat melahirkan kembar yang
banyak pula seterusnya mengetuai kerajaan baru rakyat; jadi terus
bekerja keras dan berdoalah mulai sekarang! - http://lanh14.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment