myMetro
Manila: Lambungan duit syiling memutuskan pemenang bertuah bagi
jawatan datuk bandar sebuah bandar kecil di Filipina, selepas calon
bertanding mendapat undian seri pada akhir hitungan undi, kata pegawai
pilihan raya semalam.
Keputusan dramatik bagi jawatan di San Teodoro, bandar perladangan
yang dihuni kira-kira 16,000 orang di tengah Filipina itu berlangsung di
pejabat pilihan raya tempatan dengan ahli politik bertanding
masing-masing melambung duit syiling bagi menentukan nasib mereka.
“Mereka bersetuju untuk melambung duit dengan calon yang mendapat lebih
hitungan simbol kepala diisytiharkan sebagai pemenang,” kata ketua
pilihan raya San Teodoro, Reny Pagilagan kepada media. Menurutnya,
ketegangan semakin memuncak apabila pusingan pertama lima lambungan duit
syiling turut berakhir dengan seri berikutan kedua-dua ahli politik
memperoleh dua kepala.
Marvic Feraren, anggota parti Liberal yang memerintah akhirnya muncul sebagai pemenang dalam pusingan kedua lambungan duit syiling apabila memperoleh dua kepala berbanding lawannya yang mendapat satu kepala. “Kedua-dua calon menerima keputusan itu. Mereka bersalaman dan berpelukan,” katanya.
Pagilagan berkata, undang-undang pilihan raya di negara itu
menegaskan bahawa keputusan seri dalam undian perlu diselesaikan dengan
pelbagai cara dan lambungan duit syiling adalah antara kaedah yang
diterima. - AFP
No comments:
Post a Comment