Saturday, May 18, 2013

Lelaki tembak sami kerana cemburu

myMetro

Chiang Rai: Seorang lelaki ditahan dan didakwa kerana menembak seorang sami gara-gara cemburu apabila bekas isterinya sering mengunjungi kuil, kata polis Chiang Rai semalam.
Polis berkata, mereka menerima laporan bahawa pembantu sami di kuil Wat Ton Fan, Phra Chalermchon Suwanno ditembak di tubuhnya dan kaki kiri. Dia yang dalam keadaan kritikal dibawa ke Hospital Kasemrad Sriburin.

Seorang sami di kuil itu, Phra Choketawee Siripanyo memberitahu polis bahawa dia terdengar bunyi tembakan dari arah bilik pembantu sami itu. Phra Choketawee berkata, sejurus kemudian dia ternampak seorang lelaki berlari keluar dari bilik mangsa.
Sebelum lelaki terbabit beredar dengan trak pikap, dia memberitahunya bahawa tiada apa perlu dibimbangkan kerana Phra Chalermchon sedang menguji sesuatu.

Polis kemudian menahan lelaki terbabit yang tinggal hanya dua kilometer dari kuil berkenaan. Dia dalam keadaan mabuk ketika ditahan. Lelaki itu dikenali sebagai Prason Subinchompoo, 40.

Berdasarkan keterangan Prason, dia dan isterinya berpisah selepas dia kembali daripada bekerja di Taiwan selama tujuh tahun.
Menurutnya bekas isterinya sering mengunjungi kuil itu untuk bertemu dengan pembantu sami terbabit bagi menilik nasib.

“Saya sangat cemburu, jadi, saya minum arak untuk melegakan sakit hati. Kemudian saya memutuskan untuk melawat pembantu sami itu dan menembaknya,” katanya kepada polis. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment