PETALING JAYA, 26 Mei – Pakatan Rakyat (PR) mahu mengumpulkan 500,000
sukarelawan untuk membantah di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
sehingga pesuruhjaya meletakkan jawatan untuk digantikan dengan yang
baru dan akan menjawab secara langsung kepada Parlimen.
Gabungan itu juga mahukan pengundi membuat laporan polis terhadap SPR
kerana dakwat kekal yang boleh dicuci serta merta selepas pilihan raya
umum 5 Mei, walaupun tujuan asalnya diperkenalkan untuk mencegah
pengundian berulang.
“Rakyat akan bergerak ke SPR sehingga SPR dibubarkan. Boleh?” kata
calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh kepada
ribuan hadirin dalam perhimpunan di sini yang dianjurkan oleh 60
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sebagai pengerusi majlis perhimpunan untuk membantah penipuan pilihan
raya di Dataran Petaling Jaya di Jalan Timur itu, Badrul mengetuai
slogan “SPR letak jawatan” dan menamakan pengerusi SPR Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi
kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013. Mereka
menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat
133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Ahli politik lebih dikenali sebagai CheguBard itu menggepalai
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang mendesak SPR dibebaskan
daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diletakkan di bawah Parlimen.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap paling akhir
menolak idea untuk bekerjasama dengan SPR dan menyokong desakan untuk
pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan serta merta.
“Kita tidak akan bekerjasama atau bekerja atau melibatkan diri dengan
Suruhanjaya Pilihan Raya yang menipu,” kata ketua umum PKR dan menambah
“kata dua” akan dikeluarkan jika mereka tidak meletak jawatan.
Anwar
menggesa orang ramai untuk membuat laporan polis jika mereka mempunyai
pengalaman dakwat kekal boleh dibasuh pada hari pilihan raya.
Katanya mereka perlu melakukannya bermula hari ini dan Isnin dan menghantarkan salinan laporan kepada pejabat PR.
“Ini untuk menunjukkan kuasa dan kekuatan rakyat. Kita akan cabar
kamu mengikut proses. Kita juga menghormati undang-undang,” kata Anwar.
Beliau mengatakan PR mahu menggunakan selonggok laporan polis rakyat untuk dakwaan penipuan SPR di mahkamah.
PR akan melakukan petisyen untuk mencabar pelaksanaan pilihan raya
dan keputusan di lebih daripada 25 kerusi Parlimen, langkah yang perlu
dilakukan dalam 21 hari selepas keputusan pilihan raya digazetkan pada
22 Mei.
Anwar juga menggesa rakyat menyokong langkah Bersih untuk mengadakan
Tribunal Rakyat, inisiatif yang akan digunakan bagi menyiasat dakwaan
orang ramai terdapat penipuan pilihan raya.
Walaupun SPR mengatakan Tribunal Rakyat tidak sah disisi undang-undang, Anwar mengatakan ianya mempunyai legitimasi.
Anak sulung Anwar, Nurul Izzah Anwar sebelum itu turut mengatakan SPR
menipu, mendakwa kegagalan dakwat kekal yang diperkenalkan untuk
mencegah pengundian berulang.
“Kita akan lawan mereka habis-habisan terutamanya untuk memastikan
tiada persempadanan semula tidak adil dilakukan,” kata naib presiden PKR
itu kepada hadirin, merujuk kepada kajian persempadanan semula SPR yang
akan bermula akhir tahun itu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menggambil pendekatan berbeza apabila beliau menggesa panyokong PR agar tidak membenci BN.
“Mereka mungkin mahu kita membenci mereka. Saya beritahu anda satu
perasaan yang harus ada terhadap Umno, Barisan Nasional dan pemimpin
mereka adalah kasihan. Tidak perlu membenci kerana kita cintakan
Malaysia, kita cintakan masa hadapan,” katanya.
“Jangan sesekali merendahkan diri anda ke tahap mereka. Kita akan
lawan dengan kasih sayang, kita akan lawan secara aman. Kita melawan
kerana kita lebih baik daripada mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau mengatakan rakyat seharusnya meninggalkan parti
berasaskan etnik dalam BN menamakan Umno, MIC dan MCA yang beliau dakwa
sebagai perkauman.
Beliau menggesa rakyat ke Putrajaya dan mendesak Menteri Dalam Negeri untuk menggantikan lesen akhbar harian Utusan Malaysia kepada Utusan Rakyat.
“Berikan permit kepada kami dan kami akan pastikan kami menulis
berita yang benar untuk rakyat dan bukannya berita untuk menanamkan
perasaan benci,” katanya.
Rakyat membanjiri perhimpunan itu bermula 5.00 petang dan sampai ke
kemuncaknya pada 9.00 malam dengan jalan sesak dilaporkan berhampiran
Lebuhraya Persekutuan. NGO menganjurkan perhimpunan itu sebagai
kesinambungan kempen PR yang bermula dua minggu lalu.
Disebalik amaran polis, mengatakan perhimpunan digelar “Himpunan
SuaraRakyat505” adalah perhimpunan haram, rakyat membanjiri dengan
pakaian hitam sebagai simbolik penentangan mereka dan pulang secara
aman.TMI
No comments:
Post a Comment