KUALA
LUMPUR, 19 Mei — DAP mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang
baru, Paul Low, supaya tidak hanya menjadi jurucakap kepada kerajaan
pemerintah Barisan Nasional tetapi sebaliknya melaksanakan tanggungjawab
yang diberi.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa Presiden Transparency
International Malaysia (TI-M) tersebut mengamalkan budaya berbohong
seperti diamalkan parti pemerintah BN apabila berkata ahli Kabinet tidak
perlu mengisytiharkan harta kepada umum.
“Paul Low tidak seharusnya bertukar begitu cepat daripada Presiden
Transparency International Malaysia kepada jurucakap BN dengan
menggunakan budaya pembohongan BN apabila menerangkan kenapa ahli
Kabinet tidak perlu menhisytiharkan harta secara umum,” kata Lim dalam
satu kenyataan media hari ini.
“Sekarang Paul Low sudah menjadi menteri BN, beliau telah akhirnya
menelan semua propaganda BN kononnya pengisytiharan harta akan menggugat
keselamatan menteri kabinet,” tambahnya lagi.
Ketua menteri Pulau Pinang juga mempersoalkan Low yang tiba-tiba
bertukar pendirian sebaik masuk ke dalam Kabinet walaupun sebelum ini
menyokong pemimpin kerajaan pentadbiran DAP tersebut yang
mengisytiharkan harta.
“Sebaliknya menggunakan pendekatan serupa demi meningkatkan integriti
di Kerajaan Persekutuan, kenapa pula beliau memiliki pendirian
berlainan sekarang?” soal Lim.
Low
juga dibidas pemimpin DAP tersebut kerana mengatakan pengisytiharan
harta Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli mesyuarat negeri (exco) adalah
tidak rasmi kerana tiada tindakan diambil walaupun maklumat yang
diberikan adalah tidak benar.
“Pengisytiharan harta Kerajaan Negeri Pulau Pinang disahkan oleh
sebuah firma perakaunan antarabangsa dan diakujanji oleh ahli exco
bahawa mereka telah memberikan maklumat yang tepat dan benar.
“Semua ahli exco yang gagal mengisytiharkan harta akan dilucutkan
jawatan. Bukankah itu hukuman berat yang mencukupi untuk memastikan
semuanya patuh?” ujar Lim lagi.
Penasihat DAP Lim Kit Siang juga turut mempersoalkan kewibawaan dan
kemampuan Low berada dalam Kabinet, serta mencabarnya untuk melaksanakan
lima perkara bagi membuktikan keupayaannya.
Low digesa untuk mendedahkan laporan dan penilaian penuh terhadap
Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M pada 20 Februari 2013 oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan tiga Suruhanjaya Inkuiri
Diraja (RCI) melibatkan cadangan Perdamaian Kebangsaan, insiden 13 Mei
1969 serta tuduhan rasuah ke atas Tan Sri Taib Mahmud serta Datuk Seri
Musa Aman, disamping membuka semula kes Teoh Beng Hock dan Ahmad
Sarbani.
“Bolehkah Paul Low menyelesaikan kelima-lima kes dalam minggu pertama
beliau sebagai Menteri, dengan mendapatkan persetujuan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakannya?” soal Lim Kit Siang.
Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) menurun untuk
beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun Malaysia bertambah baik pada
tahun 2012 untuk menjadi negara ke-54, di dunia, indeks antarabangsa
masih meletakkan Malaysia di bawah negara-negara Afrika seperti Rwanda
(50) dan Botswana (30 ).
“Hanyalah apabila kerajaan BN berkomitmen untuk melakukan
pengisytiharan harta secara umum dan melaksanakan tender terbuka maka
rakyat akan percaya,” kata Lim Kit Siang lagi.
“Apa sahaja yang kurang daripada itu hanyalah akan menambahkan curiga
bahawa Paul Low hanyalah seorang apologis yang dipergunakan secara
kosmetik untuk menunjukkan kononnya UMNO dan BN itu anti rasuah.” TMI
No comments:
Post a Comment