CYBERJAYA,
30 April — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah
memanggil 15 individu untuk tampil memberi keterangan dan membantu
siasatan, susulan daripada penyebaran mesej teks berita-berita palsu dan
fitnah yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
Antara contoh berita palsu yang tersebar melalui kaedah ini ialah
mengenai kekacauan ketika PRU13 dan berita mengajak orang ramai
menyimpan barangan keperluan serta makanan kerana menjangkakan kekacauan
akan meletus.
“Perbuatan menyebar berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Kanun
Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Pengerusi
SKMM, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi. “Kami sedang bekerjasama dengan
pihak polis dalam beberapa siasatan dan apabila cukup bukti untuk
pendakwaan, individu yang telah melakukan kesalahan akan didakwa,” tegas
beliau lagi.
Tambahnya, “Semua pihak perlu berfikir dahulu sebelum memanjangkan
apa jua berita dan maklumat yang diterima. Eloklah dipastikan dahulu
kesahihan maklumat daripada sumber-sumber rasmi. Semua pihak yang
terlibat seharusnya bertenang dan mengawal emosi dalam keghairahan
mereka berkempen dalam musim pilihan raya ini.”
SKMM juga mendapati trend membuli di alam siber semakin menjadi-jadi
menjelang PRU13 sehingga timbul unsur-unsur ugutan dan fitnah yang
merupakan jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Dato’ Mohamed Sharil memberi
amaran kepada orang ramai supaya menghentikan perbuatan ini kerana
ianya juga salah di sisi undang-undang.
“Sesuatu jenayah yang dilakukan di alam nyata adalah juga jenayah di alam siber. Tiada bezanya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, “Dalam amalan demokrasi, hak mengundi dan memilih
pemimpin-pemimpin kita adalah termaktub dalam Perlembagaan negara.
Justeru, hak ini perlu dihormati semua pihak dalam melaksanakan
tanggungjawab masing-masing.
Tindakan membuli dalam talian ternyata bercanggah dengan prinsip nilai-nilai murni yang kita amalkan.” — Bernama
No comments:
Post a Comment