Sejak empat tahun lalu, tempat pembuangan sampah adalah lokasi
kegemaran bagi Kelly Athena kerana ia membekalkan pelbagai bahan
keperluan untuk hidangan sehariannya.
Dia mempelajari amalan itu selepas menonton sebuah filem dokumentari
mengenai sekumpulan orang yang menyelongkar bahan buangan di luar kedai,
restoran dan pasar raya untuk mendapatkan makanan luput tarikh.
Sejak
itu, Kelly memperoleh pelbagai barang makanan bernilai hampir RM381,500
dari tong sampah, malah dia turut menggunakan bahan itu untuk
menyediakan hidangan kepada rakannya. Bagaimanapun, amalan Kelly itu
menyebabkan suaminya enggan dikenali atau dipaparkan wajahnya di
televisyen. Kata suami Kelly, dia berasa malu atas perbuatan isterinya
menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan makanan.
“Saya sentiasa ketakutan jika satu hari nanti polis menghubungi saya,” katanya.
Perbuatan
mencari bahan terbuang tidak dilarang di Arizona, tetapi beberapa
perniagaan mungkin boleh menyaman Kelly yang sering menyamar sebagai
pekerja sesebuah syarikat bagi mengelak aktivitinya disedari.
Walaupun
berdepan tindakan undang-undang, Kelly sanggup memandu sejauh hampir 50
kilometer sehari bagi memeriksa 20 tempat pembuangan sampah berbeza.
Secara purata, Kelly membawa pulang 12 kotak makanan sehari.
Peti
sejuk Kelly pula sentiasa penuh dengan bekalan makanan yang lazimnya
sudah luput tarikh, tetapi diyakininya masih sesuai dimakan.
Namun, dia tidak memberitahu mana-mana rakannya mengenai aktiviti itu
sehinggalah dia menjemput sebahagian daripada mereka untuk menghadiri
parti diadakannya. Kelly kemudian menghidangkan makanan daripada bahan
buangan itu kepada tetamunya.
Antara hidangan itu ialah piza
yang sudah luput tarikh selama empat bulan bersama keju yang sudah dua
minggu melepasi tarikh luput. Kata Kelly, kebanyakan rakannya memuji
hidangan itu.
“Mereka memakan semuanya seperti biasa tetapi terkejut apabila diberitahu saya memperoleh bahan itu dari tong sampah,” katanya.
No comments:
Post a Comment