Harakahdaily
Mohammad Faizal Che Yusof , | 09 Mei 2013 |
JIKA
ditanya adakah saya masih berduka dengan keputusan PRU13, jawab saya
ya. Bagaimana mungkin untuk saya mampu menerima keputusan PRU13
sedangkan suasana di luar kotak undi begitu ketara berbeza. Di saja mana
ceruk rantau negeri yang Barisan Nasional dikatakan kuat, langsung
tiada petanda sokongan kepada BN sebagaimana dizahirkan kepada Pakatan
Rakyat.
Pun begitu, ketentuan Allah dan takdirnya tidak siapa yang dapat
menolak. Allah yang Maha Agung telah mentakdirkan Suruhanjaya Pilihan
Raya mengumumkan 133 kerusi untuk BN dan 89 kerusi untuk PR. Bersabar
dan bersyukur? Saya bersabar dan bersyukur, insya Allah.
Namun, bersabar bukan bererti diam, terima saja tanpa mengikhtiarkan
sesuatu. Gerak hati rakyat yang inginkan perubahan mesti dinyatakan.
Gelombang perubahan yang diinginkan rakyat mesti sedia untuk melanda
setiap kezaliman dan kejahatan.
Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat yang diadakan di Lembah Klang dan
Rusila malam tadi, 8 Mei 2013 adalah suatu isyarat jelas kepada seluruh
pimpinan politik. Jangan pekakkan telinga kalian dari suara rakyat yang
inginkan kebenaran dan keadilan. Jangan butakan mata kalian dari
kehendak rakyat yang bencikan kezaliman dan kejahatan.
Dalam penulisan-penulisan lepas, saya ada menyebut apa yang boleh
kita lakukan menerusi saluran undang-undang yang ada. Moga ianya terus
diusahakan sebagai ikhtiar kita untuk disandarkan kepada Allah SWT.
Apa yang ingin saya kemukakan kini adalah suatu anjakan kemanusiaan
yang harus diambilkira. Cukup dengan perhatikan apa yang dizahirkan
dalam himpunan suara rakyat suara keramat, pendukung dan penyokong PR
bukan sedikit bahkan ia majoriti dalam pengundian. Mereka mampu
berhimpun tanpa dibayar biarpun datang dari pelbagai ceruk. Biarpun
jalan yang sesak dan hujan renyai-renyai, ia langsung tidak menghalang
penyatuan mereka.
Mereka berhimpun untuk keamanan. Tidak sekali-kali untuk buat kacau
atau huru hara. Mereka mampu diam di tengah-tengah keriuhan bila mana
azan dilaungkan. Mereka tidak sekali-kali mementingkan kaum atau bangsa
sendiri.
Sesungguhnya rakyat inginkan kebaikan bukan kezaliman atau
penindasan. Itulah yang perlu dijadikan pertimbangan dan titik tolak
kepada seluruh 222 orang wakil rakyat yang telah dipilih.
Daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat hari ini, 109 adalah mewakili
Umno, 24 komponen-komponen parti BN, dan 89 dari PR. Seterusnya Bahagian
4 Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43 (2) (a) menyebut perlantikan
Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk kepada ahli
dewan yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan. Ia langsung tidak
menyebut berkaitan majoriti mengikut parti atau komponen parti yang
diwakili.
Dalam suasana hari ini, meskipun Perdana Menteri telah pun mengangkat
sumpah, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan juga menyediakan
peruntukan bilamana seseorang Perdana Menteri telah hilang kepercayaan
majoriti ahli dewan. Apa yang berlaku di Perak semasa peralihan
kepimpinan dari PR ke BN adalah contoh terdekat yang boleh berlaku juga
di peringkat persekutuan.
Dari bilangan ahli dewan BN iaitu 109 dari Umno dan 24 dari
komponen-komponen lain, saya mempunyai keyakinan betapa ada dari mereka
yang mampu memahami apakah aspirasi majoriti rakyat yang terdedah dengan
ilmu dan maklumat hari ini. Tiada undang-undang yang mampu menghalang
untuk 109 dan 24 ahli dewan ini memberi kepercayaan kepada selain
Perdana Menteri yang ada untuk menerajui pucuk pimpinan negara hatta
dari PR.
Bukan kita tidak boleh tunggu untuk PRU14 lima tahun lagi, bukan kita
tidak mengambil pengajaran dari sirah agung yang lalu, namun, seruan
al-Quran dan Hadis untuk amar makruf nahi munkar diperjuangkan perlu
menjadi keutamaan.
Saya penuh yakin, tiada siapa (mereka yang waras) yang ingin melihat
sistem kenegaraan kita terus diseliputi kepincangan dan kemusnahan. Lima
tahun meskipun tidak lama, ia cukup untuk meranapkan sisa-sisa struktur
yang ada yang telah sedia punah.
PR hari ini telah ramai disertai bijak pandai dan pendukung-pendukung
Umno BN atas dasar mendokong kebenaran dan keadilan. Gelombang ini
tidak akan berhenti di situ saja. Saya percaya, ia mampu mengubah birai
pantai sebagaimana kehendak majoriti rakyat.
No comments:
Post a Comment