Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar cenderung menyokong BN kerana mengkritik keputusan wakil Pakatan untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat.

Shamsul Iskandar berkata, Wan Ahmad sepatutnya melepaskan jawatan dalam SPR dan memasuki politik atas kenyataan partisan seperti itu.
"Tapi kita ada Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad yang sepatutnya tidak partisan dan bebas. Dengan mengeluarkan komen sebegini, menunjukkan apa telahan kita sebelum ini adalah tepat, bahawa SPR dianggotai pempinan yang berpihak kepada sesuatu parti."Dalam hal ini, saya menganggap ia satu kesalahan terhadap seorang penjawat awam, yang cenderung untuk menyokong parti kerajaan BN, dan untuk dia seorang, beliau tidak layak memegang kerusi pimpinan SPR yang sepatutnya bebas," kata Shamsul dalam sidang media pagi ini.

Wan Ahmad dalam satu kenyataan semalam menyifatkan Pakatan bersikap hipokrit kerana akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen meskipun mempertikai keputusan pilihan raya umum ke-13.

Wan Ahmad juga antara lain dilapor menyifatkan pembangkang cepat berubah pendirian dan setiap perbuatan mereka tidak selari dengan prinsip.

"Mereka menang 89 kerusi (Parlimen) dan tiga negeri menang semuanya lebih dua pertiga kerusi, tetapi di jalan raya mereka menolak keputusan pilihan raya dan ini perkara yang betul-betul hipokrit.

"Prinsip tidak sama dengan perbuatan, prinsip kononnya tidak boleh menerima keputusan pilihan raya, tetapi perbuatannya?

"Kita tengok sekarang, cepat-cepat angkat sumpah, cepat-cepat ubah (pendirian), sebelum ini cuma nak boikot taklimat dia kata," kata Wan Ahmad seperti dilaporkan.