HM
Sekadar hiasan. |
Tongod: Meskipun diberi minum racun dan dibuang tanpa sehelai
pakaian sebaik dilahirkan, namun nasib tetap menyebelahi seorang bayi
lelaki apabila ditemui penduduk dalam keadaan masih hidup sebelum diberi
rawatan tradisional.
Namun, keadaan bayi malang itu ditemui di depan rumah kongsi pekerja
ladang kelapa sawit di Ladang KJS di Kampung Inarad, di sini, kira-kira
jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, dilihat semakin lemah.
Keadaan itu menyebabkan penduduk segera menghantarnya ke klinik bergerak, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, bayi itu dipercayai cuba digugurkan ibunya ketika kandungan
berusia lima bulan, tetapi sebaik ‘dilahirkan’, bayi berkenaan terus
bernyawa.
Tidak sanggup membunuh dengan mencederakan bayi itu, pelaku yang lebih
kejam daripada binatang itu kemudian memberi insan kecil itu racun
sebelum meninggalkan bayi terbabit dalam keadaan bogel di hadapan rumah
pekerja ladang sawit.
Individu menemui bayi terbabit mendakwa mulut bayi itu berbau racun dan
masih hidup sebelum dirawat menggunakan perubatan tradisional.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu ketika
dihubungi semalam, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan
siasatan.
“Saya difahamkan sebaik menemui bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan
itu, pekerja ladang hanya membawanya berubat menggunakan kaedah
tradisional berikutan kedudukan ladang yang jauh dari hospital.
“Namun, oleh kerana keadaannya semakin lemah, bayi itu dihantar ke
Klinik Bergerak Kampung Inarad, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan
sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum satu laporan polis
dibuat,” katanya.
Martin berkata, siasatan awal mendapati, mulut bayi itu berbau racun
ketika ditemui dan sehingga kini, belum ada individu yang tampil
menuntut bayi terbabit.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang
mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu
siasatan,” katanya.
Martin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
No comments:
Post a Comment