Tuesday, June 18, 2013

DAP: Apa lagi ROS mahu?

Malaysiakini

 Jun 18 2013
DAP mempertikaikan langkah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) yang membuat kenyataan kepada umum berhubung status siasatan terhadap DAP kerana bimbang berlaku manipulasi fakta.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook berkata, kenyataan demi kenyataan oleh ROS melalui media hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap parti itu dan menggugat keyakinan terhadap kredibiliti pimpinannya.

NONE"Kami telah berkali-kali mengatakan bahawa kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS dalam siasatan mereka dan setiap dokumen yang mereka minta dalam tempoh beberapa bulan ini telah pun kami bekalkan kepada mereka.

"Sekiranya ROS masih tidak dapat menyelesaikan siasatan tersebut, ini hanya menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan mereka dalam menjalankan siasatan," katanya sambil menyoal "apa lagi ROS mahu?"

ROS semalam dilapor meminta DAP mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang didakwa berlaku semasa pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, Disember lalu.

Bernama melaporkan, pendaftarnya Datuk Abdul Rahman Othman berkata, ia untuk mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab computer glitch atau penyelewengan.

Agensi berita nasional itu juga melaporkan Abdul Rahman sebagai berkata, ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan siasatan terhadap parti itu untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat mereka bertarikh 17 April lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Loke juga berkata, sama ada sudah menjadi prosedur untuk ROS mengeluarkan kenyataan media setiap kali mereka meminta DAP untuk memberikan keterangan atau bukti.

"Mengapakah hanya siasatan terhadap DAP diberikan perhatian oleh ROS sedangkan siasatan terhadap parti-parti politik yang lain tidak diwar-warkan untuk pengetahuan umum dalam media?" soalnya.

No comments:

Post a Comment