KUALA LUMPUR, 14 Jun – DAP hari ini menggesa Ketua Polis Negara
(KPN)dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kebenaran kepada
pihak berkuasa tempatan mereka memiliki pasukan polis bantuan sendiri
bagi mengekang kejadian jenayah di Petaling Jaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin (gambar),
menegaskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memerlukan tambahan
dua kali ganda anggota pasukan polisnya bagi memastikan situasi yang
selamat untuk penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
“PJ perlu menggandakan kekuatan pasukan polis. Pada 2012, dengan
populasi sekitar 620,000 penduduk, hanya ada 1,323 pegawai polis. Dalam
erti kata lain, setiap anggota polis perlu melindungi 470 penduduk,”
katanya yang juga pakar strategi media sosial DAP dalam satu kenyataan
hari ini.
“Purata 1:470 adalah jauh lebih tinggi berbanding saranan Interpol (International Criminal Police Organisation), 1:250.”
Jelasnya lagi, MBPJ telah memohon pasukan polis bantuan sejak
Februari 2009 dan memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta untuk melengkapkan
100 pegawai pebguasanya sebagai polis bantuan, namun ia telah ditolak
pada 2010 atas alasan tiada keperluan pasukan polis tambahan di kawasan
berkenaan dan akan berlaku pertindihan tugas dengan polis.
“MBPJ kemudiannya memohon semula pada Jun 2012, namun masih lagi belum menerima sebarang jawapan daripada IGP,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan beberapa pihak berkuasa tempatan
dibenarkan memiliki pasukan polis bantuan mereka sendiri di
negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) namun kebenaran serupa
tidak diterima mereka yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR).
“Kenapa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya
Melaka (MBMB) di bawah Barisan Nasional boleh mempunyai polis bantuan,
tetapi MBPJ di bawah PR dinafikan hak oleh KPN dan KDN?” soalnya.
Jelasnya, terdapat 123 agensi mempunyai pasukan polis mereka sendiri
termasuk 25 agensi kerajaan, 21 bafab berkanun, 32 syarikat berkaitan
kerajaan dan 45 syarikat.
GLC seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas termasuk
syarikat swasta seperti Astro, PLUS, Puncak Niaga malah Utusan Melayu
juga jelasnya dibenarkan memiliki pasukan polis bantuan, tetapi mengapa
masyarakat di Petaling Jaya dinafikan hak serupa.
“Kami sangat kecewa pasukan polis bermain politik dalam perkara ini
den enggan memberikan keutamaan terhadap keselamatan rakyat Selangor.
“Masih ada mangsa yang ketakutan dalam kes jenayah. Baru beberapa
hari lepas pada 12 Jun, sebuah restoran di Taman Megah disamun
sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang,” katanya.
Yeo turut berkata hal berkaitan keselamatan tidak seharusnya
dipolitikkan, dan pihak berkuasa tempatan mereka sedia bekerjasama
dengan polis bagi memastikan hak rakyat menikmati kehidupan selamat
tercapai. TMI
No comments:
Post a Comment