Bekas Ketua Polis Negara (KPN)
Tan Sri Musa Hassan menyifatkan golongan muda masyarakat Cina tidak
menghormati orang Melayu kerana mereka menerima rasuah, sambil menggesa
Putrajaya supaya serius memerangi isu rasuah sekiranya mahu menghentikan
sentimen tersebut berlarutan.
Musa dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia berkata apabila orang
Melayu terlibat dalam rasuah, masyarakat Cina akan melihatnya sebagai
satu bentuk pengkhianatan kerana menjual hak kepada orang lain.
"Generasi muda Cina membenci rasuah.
"Apabila orang Melayu rasuah, mereka mengganggap seperti menjual
hak kepada orang lain dan akibatnya mereka tidak menghormati orang
Melayu," kata Musa yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia di "Forum
Rakyat:Melayu Islam Bersatu?" hujung minggu lalu.
Isu rasuah merupakan perkara pokok yang sentiasa menjadi
permasalahan dalam pentadbiran kerajaan pemerintah Barisan Nasional
(BN), kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) menurun untuk
beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun kedudukan Malaysia bertambah
baik pada tahun 2012 menjadi negara ke-54 di dunia, indeks antarabangsa
masih meletakkan Malaysia di bawah negara-negara Afrika seperti Rwanda
(50) dan Botswana (30).
Baru-baru ini, seorang wanita Cina telah ditahan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial PDRM kerana dikhuatiri telah menghina DYMM
SPB Yang DiPertuan Agong di laman Facebook-nya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini juga turut
dikaitkan dengan sokongan peningkatan sokongan pengundi Cina kepada
pembangkang Pakatan Rakyat (PR) sehingga menyebabkan Barisan Nasional
(BN) walaupun berjaya kekal sebagai kerajaan pusat, hanya memperoleh 133
kerusi Parlimen berbanding 140 pada Pilihan Raya 2008 lalu.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga secara terbuka
telah menyalahkan masyarakat Cina apabila menyifatkan keputusan PRU13
sebagai "Tsunami Cina" sejurus selepas berakhir pilihan raya.
Walau bagaimanapun, penganalisis berkata sebaliknya apabila
mengatakan kekalahan bersejarah BN dalam Pilihan Raya 2013 adalah
disebabkan oleh gabungan tersebut kehilangan sokongan daripada kelas
menengah dan pengundi bandar, mendalamkan lagi jurang bandar-luar bandar
di negara ini.
Malah perlantikkan Datuk Paul Low sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri di dalam Kabinet baru-baru ini juga dilihat sebagai
langkah untuk memulihkan sokongan masyarakat Cina terhadap pentadbiran
beliau dan menonjolkan imej bersih serta membuktikan ketegasan dalam
menangani isu rasuah yang berleluasa. - 17 Jun, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment