PAS menyokong perhimpunan besar-besaran #Black505 Pakatan
Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 22
Jun untuk membantah dakwaan penipuan Pilihan Raya 2013.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menggesa seluruh ahli dan
penyokongnya untuk bersama-sama dalam perhimpunan itu walaupun masih
belum jelas sama ada pihak berkuasa akan membiarkan ianya berjalan
dengan lancar.
"Keputusan untuk menyertai himpunan ini bukan keputusan Husam Musa,
bukan keputusan Haji Mohamad Sabu tetapi keputusan mesyuarat
Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyokong Blackout505," kata Husam dipetik
dari portal Harakahdaily.
"Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," tegas Husam Musa.
Husam menjelaskan, bukan menjadi niat PAS untuk terkorban dalam
perhimpunan itu akan tetapi penipuan pilihan raya mesti dihentikan.
Sebelum ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR yang dilihat
bersungguh-sungguh dalam menjayakan perhimpunan #Black505 dan sokongan
PAS dijangka akan menambahkan lagi kekuatan bantahan itu.
Bekas calon kerusi Parlimen Putrajaya itu turut menegaskan, PR tidak
boleh berdiam diri dengan penipuan yang dilakukan dalam pilihan raya
umum 13 lalu.
"Kalau kita berdiam diri kerana telah menang menguasai kerajaan (negeri), kita pengkhianat kepada perjuangan.
"Kalau pengerusi SPR tak nak letak jawatan, Najib kena letak jawatan.
Kalau kedua-dua letak jawatan, Alhamdulillah, itu lagi baik. Atas sebab
itu, tidak mustahil Najib letak jawatan," tegas Husam.
PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh
negara semenjak 8 Mei untuk memperotes dakwaan penipuan dalam Pilihan
Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa
walaupun kehilangan undi popular.
Minggu lepas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengatakan
perhimpunan #Black505 akan terus diadakan di Padang Merbok pada 22 Jun
walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengatakan mereka akan
menggunakan lokasi itu untuk larian mereka.
Rafizi juga mengatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah
memberitahu PR Padang Merbok hanya ditempah dari 6.00 petang ke atas
pada 22 Jun, bercanggah dengan kenyataan MOM baru-baru ini persediaan
logistik untuk larian olimpik McDonald 23 Jun akan bermula pada 21 Jun. –
18 Jun, 2013
No comments:
Post a Comment