Terdapat peningkatan pesakit asma serta penyakit berkaitan mendapatkan rawatan di hospital dan klinik di sekitar negeri Johor dan Melaka, sejak jerebu melanda kedua-dua negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
berkata berlaku peningkatan melebihi seratus peratus bagi penyakit asma
semenjak krisis jerebu.
"Di Johor pesakit asma meningkat kepada 122 peratus manakala di
Melaka meningkat dengan ketara iaitu 127 peratus," katanya pada sidang
media selepas melancarkan 'Kempen dan Seminar Keselamatan Pesakit
Peringkat Kebangsaan' di sini hari ini.
Beliau berkata turut meningkat ialah jangkitan saluran pernafasan iaitu di Johor sebanyak 38.5 peratus dan Melaka 20.7 peratus.
Peningkatan juga berlaku terhadap simptom konjunktivitis atau sakit
mata dengan Melaka mencatat peningkatan 63.6 peratus manakala di Johor
tiada peningkatan, kata Dr Noor Hisham.
Justeru itu, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya
mengurangkan aktiviti di luar rumah atau menggunakan penutup hidung dan
mulut ketika berada di luar rumah.
Beliau berkata bagi memberikan rawatan yang sebaiknya kepada pesakit
yang mengalami simptom jerebu di dua buah negeri tersebut, hospital dan
klinik kerajaan kini memfokuskan kepada kes kecemasan.
"Kita mengurangkan pembedahan dan perkhidmatan lain, sekarang hanya
fokus kepada kecemasan dan mengerakkan tenaga utama kepada unit
kecemasan," katanya.
Kempen yang pertama kali diadakan itu menggabungkan kerjasama sektor
awam dan swasta berkaitan untuk meningkatkan kesedaran mengenai
kepentingan keselamatan pesakit dan bagaimana ini boleh dicapai.
Kempen dua hari bermula hari ini bertemakan 'Bersama-sama untuk keselamatan' dihadiri 500 peserta.-- Bernama, 24 Jun, 2013.
No comments:
Post a Comment