KUALA LUMPUR, 16 Jun — Langkah kontroversi oleh jawatankuasa
pengurusan Kelab Golf Negara Subang (KGNS) untuk memajak dan memindahkan
mesin perjudian di luar kelab memberikan peluang untuk mengintip
industri berbilion ringgit dikawal oleh sekumpulan ahli perniagaan yang
rapat dengan Barisan Nasional (BN).
Tan Sri Megat Najmuddin Khas dan ahli jawatankuasa untuk tahun
2011-2012 baru-baru ini dikecam oleh ahli-ahli kelab kerana tidak cekap
dan berkelakuan cuai serta melakukan pelanggaran kewajipan, menurut
dokumen yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.
Kapten kelab pada ketika itu Datuk Ronnie Yeo menerima kecaman paling
keras kerana menjadi orang yang berbincang untuk perjanjian pemindahan
itu apabila beliau diambil bekerja oleh Waz Lian Recreation Sdn Bhd,
syarikat dimiliki oleh hartawan - menganjurkan majlis makan malam
dihadiri oleh 60,000 orang di Port Klang untuk menunjukkan sokongan
kepada Datuk Seri Najib Razak.
Sekumpulan hartawan Cina memegang beratus-ratus lesen dikeluarkan
oleh Kementerian Kewangan untuk mengendalikan mesin perjudian.
Mesin-mesin ini diletakkan di kelab persendirian di sekitar ibu kota,
akan tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu mencuba nasib.
Disebabkan kawalan ketat untuk lesen di bawah Akta Loteri oleh
Kementerian Kewangan, sesetengah hartawan telah beralih ke mesin
perjudian yang dikendalikan oleh kelab golf dan kelab sukan diseluruh
negara, menawarkan jawatankuasa pengurusan kontrak untuk memajak dan
memindahkan mesin ke premis di luar kelab.
Sebagai ganjaran, pengendali perjudian ini bersedia untuk membayar
kelab-kelab sejumlah tetap setiap bulan. Kebiasaannya, pampasan bulanan
itu lebih daripada jumlah diterima oleh kelab dengan meletakkan
mesin-mesin itu jika hanya dikunjungi oleh ahli-ahli kelab.
Akan tetapi masalahnya, perjanjian seperti ini melanggar syarat lesen
seperti ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, termasuk syarat untuk
meletakkan mesin di premis kelab dan memastikan hanya ahli kelab
dibenarkan untuk menggunakan mesin perjudian itu.
Dalam kes ini, KGNS bersetuju untuk memindahkan operasi bagi 10
mesin perjudian mereka kepada Waz Lian pada Mei 2012, lebih setahun
selepas rundingan antara jawatankuasa pengurusan dan penggendali itu.
Mesin perjudian itu dipindahkan ke Galaxy Club di Kota Damansara dan
telah dipersetujui Waz Lian akan menguruskan mesin perjudian itu untuk
lima tahun. Dalam enam bulan pertama, KGNS akan menerima RM126,000.
Selepas itu KGNS akan menerima RM150,000 sebulan.
Waz Lian juga bersetuju jika lesen perjudian itu dibatalkan, mereka
akan membayar RM10 juta kepada KGNS sebagai pampasan. Jawatankuasa
pengurusan juga bersetuju dengan cadangan oleh Waz Lian untuk menggelar
bilik perjudian di Kota Damansara sebagai "lampiran kelab'', satu
langkah untuk memastikan secara teknikalnya akan memenuhi syarat
Kementerian Kewangan kerana mempunyai mesin di premis kelab.
Akan tetapi perjanjian itu tidak menyenangkan ahli kelab dan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan pada Jun tahun lepas, telah diputuskan jawatankuasa
siasatan khas menyiasat "punca-punca dan sebab-sebab" kelab terlibat
dalam perjanjian untuk mengendalikan mesin slot dan mengeluarkannya dari
kelab.
Selepas siasatan, jawatankuasa siasatan khas mendapati banyak pelanggaran telah berlaku.
Contohnya, perjanjian dengan Waz Lian menyatakan orang awam
dibenarkan menggunakan mesin judi di Galaxy Club, bertentangan dengan
syarat-syarat Kementerian Kewangan hanya ahli kelab boleh menggunakan
mesin-mesin itu.
Selain itu, Galaxy Club secara tidak sah digambarkan sebagai lampiran
oleh KGNS oleh kerana kelab golf itu tidak mempunyai pemilikan
eksklusif premis di mana mesin dipindahkan.
Jawatankuasa siasatan khas juga mendapati, walaupun penggendali
memberikan jaminan untuk membayar RM10 juta jika lesen ditarik balik,
Waz Lian tidak mempunyai akaun perniagaan baik dengan hutang sebanyak
RM446,872.
Terdapat juga kekecewaan dikalangan ahli kelab kerana peguam kelab
telah pada bulan Disember 2011 mengangkat bendera merah sama ada
syarat-syarat Kementerian Kewangan membolehkan mesin untuk digunakan
oleh bukan ahli.
Masih belum jelas jika Kementerian Kewangan akan bertindak terhadap
KGNS atau kelab lain yang telah membuat perjanjian dengan ahli
perniagaan mempunyai hubungan kuat yang mendominasi perniagaan mesin
judi di Malaysia.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment