Kualiti udara di daerah Muar kini berada pada tahap sangat
berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 453 pada
pukul 4 petang hari ini.
Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar
Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata kualiti udara di daerah itu mencatat
kemerosotan sejak awal pagi dengan bacaan IPU 276 pada 7 pagi, 312 (8
pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (pukul 11 pagi hingga 12
tengah hari).
"Keadaan jerebu di Muar semakin buruk hari ini. Bagi mencegah dan
memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, Bilik Gerakan Bencana Alam
(Pencemaran Udara dan Jerebu) akan merangka pelan tindakan dan melakukan
pemantauan melibatkan lapan agensi kerajaan di sini," katanya ketika
dihubungi di sini.
Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Muar, berkata agensi yang
terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), pejabat tanah, polis,
pejabat pendidikan daerah, bomba, pejabat kesihatan, pejabat pertanian,
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau berkata MPM akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran
terbuka termasuk tapak pelupusan, pembuangan sampah, tapak pembinaan,
tepi jalan dan taman-taman perumahan sebelum memaklumkan kepada bomba
untuk tujuan pemadaman.
Katanya pejabat tanah pula akan mengarahkan kuari dan
lombong untuk menghadkan aktiviti bagi mengurangkan kesan jerebu
manakala polis meronda bagi memantau kegiatan pembakaran terbuka.
"Pejabat Pendidikan Daerah pula memberi nasihat mengurangkan aktiviti
di luar bilik darjah apabila sekolah dibuka semula selain mengenal
pasti sekolah-sekolah yang perlu dibekal dengan penutup hidung dan
mulut," katanya.
Menurutnya bomba juga akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran
terbuka serta menghantar laporan setiap dua jam jika berlaku pembakaran
terbuka manakala pejabat kesihatan daerah perlu menasihati orang ramai
mengenai langkah penjagaan kesihatan.
Pejabat pertanian daerah akan memantau kawasan pertanian bagi
mencegah petani atau pekebun melakukan pembakaran terbuka manakala JPJ
memantau kenderaan yang mengeluarkan asap hitam.
Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam
Sekitar ketika dihubungi berkata bacaan IPU di Pasir Gudang, Kota Tinggi
dan Larkin Lama tidak banyak berubah setakat pukul 4 petang.
Jurucakap itu berkata IPU di Pasir Gudang mencatatkan
bacaan 190, Kota Tinggi (192) manakala Larkin Lama (170), yang
kesemuanya pada paras tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Johor Md Jais Sarday berkata keputusan untuk membuka semula sekolah
pada
Isnin ini di beberapa daerah yang ditutup berikutan masalah jerebu akan diketahui esok.
Beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan
Johor untuk memantau keadaan petang esok sebelum menentukan sama ada
sesi persekolahan dapat dijalankan.
"Jabatan Pendidikan Johor akan menggunakan budi bicara mereka dalam
membuat keputusan terbaik dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan
dan nasihat Majlis Keselamatan Negara dalam menjamin keselamatan
pelajar," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian program
Kenali Asean 2013, di sini, hari ini.
Sebanyak 211 sekolah di Muar dan Pasir Gudang mula ditutup sejak dua
hari lepas ekoran peningkatan bacaan IPU, diikuti sekolah-sekolah di
Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang, semalam. - Bernama, 22
Jun, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment