Setiausaha
Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata
negara ini pada dasarnya tidak memerlukan penggunaan dakwat kekal,
sebaliknya cukup menggunakan kad pengenalan untuk mengenal pasti
individu tertentu sebagai pengundi.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata penggunaan dakwat kekal itu
adalah atas permintaan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen
yang kemudiannya telah dipersetujui.
"Kita tak perlukan dakwat kekal ... untuk apa? Kita bukan negara
(dunia) ketiga. Kita ada kad pengenalan yang boleh dikenal pasti.
"Dakwat kekal ini pembangkang yang minta di Parlimen dan kita setuju
dan ikut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Putrajaya itu menegaskan bahawa sebab dakwat kekal yang
digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 lalu tidak mengandungi
bahan kimia berbahaya adalah bagi memastikan keselamatan rakyat.
Kata beliau, ia berbeza dengan dakwat kekal yang kekal sehingga dua
bulan seperti yang digunakan di India, yang memberi kesan yang merbahaya
kepada masyarakat.
"Sebab SPR sangat prihatin yang kimia itu akan menyakitkan orang
ramai. Ini tanggungjawab kerajaan untuk menjaga rakyat," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum
ini mengatakan bahawa bahan kimia dalam dakwat kekal diganti dengan
pewarna makanan.
"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut.
Sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna
makanan yang diluluskan," kata Shahidan semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini berkata mereka menggunakan
"silver nitrate" dalam dakwat kekal dan memberi alasan bahawa
pengurangan kandungan tersebutlah yang merupakan punca kemelut
kebertahanan dakwat kekal yang digunakan itu.
Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal ialah empat bulan
daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja
berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.
"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan.
"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada
individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat
kekal berkenaan," katanya lagi.
Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah
RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal di samping
perbelanjaan tambahan RM200,000 meliputi kos pengangkutan, pembungkusan
serta penyimpanan, menjadikan jumlah keseluruhannya RM7.1 juta.
Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.
Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka
tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam PRU13.
Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan adalah antara penipuan SPR
yang didakwa oleh PR. Malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat
laporan polis jika dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik
mengundi pada 5 Mei lalu.
Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan
bahawa pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca
yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama
selepas dicalit. - 27 Jun, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment