Sunday, June 23, 2013

Mat Sabu: Pakatan perlu menang sokongan Melayu untuk memerintah Malaysia


Oleh Mohd Farhan Darwis
June 23, 2013
Umno berjaya menanam persepsi parti itu adalah pejuang dan pelindung Melayu, dan Pakatan Rakyat (PR) perlu menghapuskan persepsi sedemikian daripada komuniti Melayu jika mahu mengambil alih pemerintahan negara, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mohamad yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu berkata Umno berjaya dianggap pelindung survival Melayu dan Islam, yang menjadikan masyarakat Melayu yakin parti majoriti Melayu itu sahaja yang akan mempertahankan Islam, termasuk penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Umno masih dianggap pelindung Melayu dan Islam ... inilah kalau kita lihat keputusan (pilihan raya) bahawa orang Melayu masih bimbamng kalau Umno kalah bagaimana apa akan terjadi kepada orang Melayu, Islam.

"Ini kejayaan persepsi yang ditanam sejak merdeka, yang menjadikan rakyat takut mengalahkan Umno, termasuk menjaga nama Allah," kata Mat Sabu ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) di Ampang.

Justeru itu, Mat Sabu menggesa rakan komponen PR dari DAP, dan PKR memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan persepsi berkenaan dapat dihapuskan.

"Bantuan semua kaum khasnya DAP yang memperolehi undi besar nak buang persepsi Umno pejuang Melayu ... macam mana nak buang dalam masa, tiga atau empat tahun akan datang," katanya di hadapan 400 penyokong PR yang hadir hari ini.

Menurut Mat Sabu, perkara itu perlu diambil berat, termasuk kenyataan-kenyataan beberapa pihak yang dieksploitasi, dan memberi kelebihan kepada Umno.

"Kadangkala itu membantu Umno mendapatkan kerusi, ia perlu diperhalusi, kita merayakan kemenangan tetapi kita hadapi kekurangan di satu pihak lain."

"Peranan wakil rakyat kita perlu dipertingkatkan, memahami daya dan juga inspirasi kaum dan mengubah persepsi terhadap satu perkara," katanya lagi.

Pemimpin-pemimpin PR sebelum ini pernah bertelagah berhubung beberapa perkara seperti pelaksanaan hukum Islam, Hudud sekiranya mereka berjaya memerintah.

Cadangan daripada PAS itu telah ditolak bulat-bulat beberapa pemimpin DAP seperti Pengerusinya, Karpal Singh, yang kemudiannya mencapai konsensus mereka setuju untuk tidak bersetuju.

Isu penggunaan kalimah Allah juga pernah dibangkitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika perutusan Krismas hujung tahun lalu, yang mana kembali menjadikan isu berkenaan suatu perdebatan dan mengambil perhatian ramai pihak.

"Secara umumnya, orang Melayu ini kuat, percaya kepada takdir walaupun cara kepercayaan itu boleh diperbahas," kata Mat Sabu lagi.

1 comment:

  1. JOM REGISTER PARTI A.B.U

    KEAHLIAN HANYA UTK BEKAS AHLI UMNO SHJ

    TARGET AHLI 1.5 JUTA SEBELUM PRU14

    JEMPUTAN KPD BEKAS NAIB WANITA UMNO DAN KP UMNO SEPANG SEBAGAI PROTEM .

    PARTI A.B,U UNTUK GANTI UMNO (ALYAHUDI) DAN PAS (ULARMAK SESAT )

    ReplyDelete