Tuesday, June 25, 2013

Menteri: Pasar malam Jonker Walk ditutup sementara. Bukan "pembalasan" kepada pengundi Cina

 
Menteri pelancongan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata beliau akan meminta Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron agar mempertimbang semula keputusan menutup pasar malam Jonker Walk yang menurutnya menyumbang kepada pelancongan di Melaka.
"Pasar (Jonker Walk) perlu ada di sana. Bagus untuk pelancongan Melaka. Tanpa pelancongan, Melaka dikenali dengan apa?

"Kita bagi percubaan untuk empat minggu dulu dan tengok maklum balasnya macam mana. Jangan buat sesuatu yang menjejaskan pelancongan.

"Saya harap Ketua Menteri akan fikirkan balik sebaik-baiknya," katanya lagi.

Katanya, Idris pada pagi ini memberitahunya bahawa penutupan berkenaan hanyalah untuk tempoh percubaan selama empat minggu selepas aduan orang ramai yang merungut mengenai kesesakan lalu  lintas.

Isu berkenaan timbul susulan dakwaan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong bahawa penutupan pasar Jonker Walk oleh kerajaan negeri Melaka merupakan "pembalasan" kepada pengundi Cina yang telah menyokong pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Laporan Kwong Wah Daily pula pada hari Isnin lalu memetik kenyataan Idris yang berkata, mesyuarat anggota exco pada 12 Jun lalu memutuskan untuk menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat.

Idris dalam laporan itu turut mengingatkan bahawa pihak yang menyatakan bantahan apabila pasar malam itu ingin diperkenalkan pada 13 tahun lalu adalah DAP.

Pada masa itu, DAP menyelar kerajaan dengan dakwaan menggadaikan hak pengguna jalan demi kepentingan 200 orang pengusaha gerai, katanya.

Kebanyakan warga Melaka pula kini memberi sokongan penuh kepada DAP berbanding calon MCA, katanya.

"Maka kami memutuskan untuk membatalkan pasar malam dan berharap mereka akan gembira," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Seramai 100 orang pengusaha gerai berkenaan berhimpun dan berarak di Jonker Street pada Ahad malam lalu untuk membantah keputusan terbaru itu.

No comments:

Post a Comment