Pakatan
Rakyat (PR) dicadangkan untuk menubuhkan satu "Kabinet Bayangan" dalam
sidang Dewan Rakyat Ke-13, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia selepas dilantik untuk penggal kedua dalam ucapan
pemasyhuran di Parlimen pagi ini.
Pandikar yang baru dilantik selepas memenangi pengundian dengan 133
undi berkata cadangan tersebut bertujuan untuk memudahkan proses
perdebatan apabila Dewan Rakyat mula bersidang secara rasminya nanti.
"Saya berharap perubahan ini akan disusuli dengan pengwujudan barisan
Kabinet Bayangan untuk memudahkan pengendalian perbahasan dalam konteks
mengenalpasti pembahas-pembahas utama daripada pihak pembangkang," kata
Pandikar.
Disamping itu, Pandikar juga menjelaskan kedudukan ahli Parlimen pada
Dewan Rakyat kali ini disusun mengikut jawatan paling kanan berbeza
dengan dahulu yang mengikut blok parti bertujuan untuk memudahkan
keutamaan diberikan kepada para mereka semasa berdebat.
"Sementara itu, dalam hal-hal berhubung dengan pengendalian majlis
mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza dari Parlimen ke-12.
"Disamping itu, saya perhatikan tempat duduk ahli-ahli Parlimen
terutama sekali daripada pihak pembangkang telah juga diubah mengikut ke
kananan sebagai satu parti berbeza semasa Parlimen ke-12 dimana tempat
duduk MP mengikut blok parti masing-masing," tambahnya lagi.
Pandikar menang pengundian selepas menewaskan calon pembangkang PR,
bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang
mendapat 89 undi.
Abdul Kadir dicalonkan oleh MP Bandar Tun Razak yang juga Menteri
Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disokong oleh MP Bukit
Gelugor, Karpal Singh.
Walau bagaimanapun sesi pengundian Speaker bermula dengan kekecohan
selepas Ahli Parlimen (MP) pembangkang Pakatan Rakyat (PR)
mempertikaikan arahan mewajibkan MP menulis nama mereka di atas kertas
undi sebaliknya mahukan hanya tandatangan sahaja ditulis.
MP Puchong (DAP) Gobind Deo Singh, MP Batu (PKR) Tian Chua dan MP
Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan ketetapan arahan Dewan
Rakyat sedemikian tidak diperlukan.
"Ini tidak masuk akal," kata Gobind sebelum majlis angkat sumpah MP bermula.
Sementara itu, dua wakil daripada kerajaan pemerintah Barisan
Nasional (BN) Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk
Ismail Mohamed Said telah dilantik sebagai Timbalan Speaker pada sidang
Dewan Rakyat Ke-13 kali ini.
Pandikar dalam ucapannya lagi juga menggesa supaya MP yang baru
mengangkat sumpah agar mencerminkan imej sebagai seorang wakil kepada
rakyat dan menunjukkan kematangan semasa berdebat.
"Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dewan
yang mulia dengan penuh dedikasi, beramanah dan berkesan," kata
Pandikar. - 24 Jun, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment