Thursday, June 13, 2013

Parlimen ke-13 perlu lantik Speaker berkecuali

Harakahdaily, 13 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Tugas pertama Parlimen ketiga Belas yang akan bermula 24 Jun ini adalah memilih Speaker yang bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan politik.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, speaker baru Dewan Rakyat perlu mendapat kepercayaan dan dihormati oleh semua Ahli Parlimen, selain mampu menangani kedua-dua pakatan pemerintah dan pembangkang secara saksama dan tidak berpihak.

Menurutnya, di negara-negara yang mengamalkan demokrasi ala Westminster seperti Kanada, India, dan sebagainya, Perdana Menteri biasanya akan meminta pandangan Pembangkang sebelum memilih Speaker dan mengemukakan kepada Parlimen calon yang paling boleh diterima oleh semua pihak bagi menghindari pungutan suara dan pertikaian di awal sesi parlimen.

"Speaker Parlimen UK misalnya memutuskan hubungan dengan parti politiknya. Malah, di negara itu speaker tidak dipilih menurut garis parti.

"Speaker Parlimen UK sekarang, John Bercow, adalah anggota parti Konservatif tetapi beliau memainkan peranan sebagai speaker sejak Julai 2009, ketika Parti Buruh masih menguasai kerajaan," katanya.

Malaysia pula ujarnya sangat unik kerana Parlimen membolehkan seseorang yang bukan-Ahli Parlimen dipilih sebagai Speaker.

Langkah ini ujarnya boleh dicontohi di negara ini dengan melantik seorang tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, tidak semestinya seorang ahli parlimen Umno.

"Perdana Menteri perlu segera memulakan langkah untuk mendapatkan pandangan dan berunding dengan Pakatan Rakyat.

"Jika langkah ini tidak diambil, sekiranya pungutan suara diperlukan, ia perlu dijalankan secara rahsia bagi memastikan kedudukan Speaker sebagai pihak berkecuali," katanya.

Pakatan Rakyat (PR) semalam sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

No comments:

Post a Comment